Buletin
Syamsul Yusof akui ada pihak tak suka dia menyanyi


Tarikh disiarkan: 8 Disember 2016


Syamsul Yusof bakal muncul dengan single terbaru pada tahun hadapan.

8 Dis – Pengarah dan pelakon popular Syamsul Yusof mendedahkan ada segelintir pihak yang tidak senang dengan penglibatannya dalam bidang muzik sebagai penyanyi apabila mempertikaikan lagu duetnya, "Kalah Dalam Menang", berduet dengan Mawi layak bertanding ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 31 (AJL 31).

"Saya tahu ada ramai yang tidak suka lagu "Kalah Dalam Menang" ini. Sebenarnya dah lama saya buat tapi saya terlalu fikir apa orang cakap membuatkan ia tertangguh."

"Saya bukan berada dalam industri muzik ini untuk syok sendiri, sebab itu saya cuba dulu kalau orang terima baru saya teruskan," katanya kepada mStar.

Lagu tersebut merupakan lagu tema untuk filem seram arahannya "Munafik" yang telah mencipta rekod apabila mendapat kutipan RM17 juta di pawagam.

Dalam pada itu, Syamsul berkata dia tidak pernah ambil pusing dengan kritikan yang dilemparkan kepadanya, sebaliknya dia menjadikan kritikan itu sebagai pembakar semangat.

Syamsul bakal berentap di pentas AJL 31 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Januari depan.

Sementara itu, artis berusia 31 tahun ini juga memberitahu dia dalam perancangan untuk mengeluarkan single terbarunya pada tahun hadapan.

Selain itu, Syamsul juga bakal muncul dengan filem terbarunya "Desolasi" yang mula ditayangkan 8 Disember (hari ini) di pawagam seluruh negara.

(Sumber foto: Syamsul Yusof Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Desolasi (Melayu) (8 Disember 2016)
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)
KL Gangster 2 (Melayu) (3 Oktober 2013)