Buletin
Syamsul Yusof cipta lagu senyap-senyap sejak empat tahun lalu


Tarikh disiarkan: 26 Mei 2016


Syamsul bakal merakam sebuah lagi lagu bersama Mawi dalam masa terdekat.

26 Mei – Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof mengakui sudah mula mencipta lagu sejak empat tahun lalu secara senyap-senyap kerana minatnya terhadap bidang muzik, namun baru kini mula menonjolkan diri selepas mendapat keyakinan.

"Saya mula berjinak-jinak mencipta lagu sejak empat tahun lalu, tapi saya malu dan tidak berkeyakinan untuk membuatnya secara serius," katanya kepada mStar.

Anak kepada penerbit dan pengarah tersohor tanah air Datuk Yusof Haslam ini berkata dia tidak merasakan dirinya sudah terlambat untuk bersaing dalam bidang muzik, sebaliknya adalah masa paling sesuai untuknya serius dalam bidang itu.

Syamsul memberitahu dia kini lebih bersemangat apabila lagu ciptaan pertamanya untuk filem arahannya "Munafik" berjudul "Kalah Dalam Menang" mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.

Tambah pelakon berusia 32 tahun itu lagi, ternyata percubaan keduanya berjaya membuahkan hasil yang mana sebelum ini dia juga pernah membuat lagu tema filem "Khurafat" yang dihantar ke stesen radio tetapi tidak diputarkan.

Dalam pada itu, Syamsul kini juga sudah mempunyai perancangan untuk bekerjasama dengan beberapa penyanyi lain untuk menghasilkan lagu-lagu tema filem yang akan diterbitkan oleh Skop Production Sdn Bhd.

Sementara itu, Syamsul turut memberitahu bahawa dia bakal merakam sebuah lagu terbaru bersama Mawi tidak lama lagi.

(Sumber foto: Syamsul Yusof Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik (Melayu) (25 Februari 2016)
Khurafat - Perjanjian Syaitan (Melayu) (13 Januari 2011)
KL Gangster 2 (Melayu) (3 Oktober 2013)