Buletin
Syamsul Yusof kembali arah filem selepas empat tahun


Tarikh disiarkan: 19 Januari 2016


Syamsul Yusof dalami ilmu agama untuk arah filem "Munafik".


19 Jan – Selepas hampir empat tahun menyepikan diri dari bidang pengarahan filem, Syamsul Yusof kembali di bangku pengarah apabila bakal muncul dengan filem seram terbaru berjudul "Munafik".

Walaupun pernah mengarah filem seram sebelum ini seperti "Khurafat", namun Syamsul berkata untuk filem terbarunya ini dia akan ditampilkan berbeza.

"Saya selalu terfikir untuk menghasilkan filem seram yang bukan sahaja mempunyai babak seram, malahan ada elemen keagamaan yang tinggi.

"Oleh itu, "Munafik" adalah filem tepat untuk angkat elemen keagamaan dalam sesebuah filem seram. Dan sering kali juga topik munafik menjadi pilihan agawan bercakap tentangnya di laman sesebuah kuliah agama," katanya kepada Sinar Harian.

Syamsul bagaimanapun berkata filemnya bukan mahu mengajar orang tentang apa itu munafik sepenuhnya, tetapi sedikit sebanyak memberi gambaran apa itu munafik.

Pada masa sama pengarah berusia 31 tahun itu juga berkata dia mahu filem terbaru arahannya itu menjadi salah sebuah filem paling seram dan diingati sampai bila-bila.

Dalam pada itu, anak kepada penerbit dan pengarah tersohor tanah air Datuk Yusof Haslam ini berkata untuk mengarah filem "Munafik", dia perlu telah mendalami sendiri ilmu agama tafsir Al-Quran dan hadis untuk dijadikan panduan.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta ini dibintangi oleh pelakon hebat seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim, Datuk Rahim Razali, A Galak dan Syamsul sendiri.

"Munafik" akan menemui penonton di seluruh negara pada 25 Februari depan.

(Sumber foto: Beautifulnara)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: