Buletin
Syamsul Yusof menang kes saman penulis novel "Aku Bohsia"


Tarikh disiarkan: 17 Februari 2016


Syamsul bersama bapanya dan peguam selepas keluar dari mahkamah

17 Feb – Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof, bapanya Datuk Yusof Haslam dan syarikat mereka telah menang dalam kes saman yang dikemukan oleh penulis novel "Aku Bohsia", Elias Idris yang mendakwa filem "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" arahan Syamsul diciplak dari novelnya.

Elias telah diarahkan membayar ganti rugi RM100,000 dan kos berjumlah RM40,000 kepada ketiga-tiga defendan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi selepas mendapati plaintif gagal membuktikan defendan melanggar hak cipta terpelihara novel "Aku Bohsia" dalam filem yang diterbitkan pada 2009.

"Saya berpendapat bahawa bukti daripada plaintif dan defendan menunjukkan 'bohsia' dan 'mat rempit' merupakan maklumat biasa dalam masyarakat kita yang tidak boleh menjadi asas kepada perbandingan antara novel dan filem."

"Saya juga bersetuju dengan defendan bahawa idea kehidupan bohsia dan mat rempit tidak dilindungi Akta Hakcipta 1987 dan tiada perlanggaran terhadap persamaan," katanya yang dipetik dari Bernama.

Dalam pada itu, pengarah dan penerbit tersohor Yusof meluahkan rasa bersyukurnya apabila kes tersebut selesai, sekaligus nama dan reputasi syarikat Skop Production serta anaknya dibersihkan dari tuduhan menciplak.

Pada masa sama, Syamsul juga melahirkan rasa syukur apabila namanya telah dibersihkan.

(Sumber foto: Syamsul Yusof Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser