Buletin
"Temuan Takdir" cipta sejarah tayangan perdana di AirAsia


Tarikh disiarkan: 27 Julai 2016


"Temuan Takdir" bakal menjadi satu-satunya filem pertama
yang akan ditayangkan di awan biru sebelum tarikh tayangan rasminya.

27 Jul – Filem tempatan "Temuan Takdir" bakal mencipta sejarahnya tersendiri apabila ia akan membuat tayangan perdana antarabangsanya dalam 33 penerbangan AirAsia A320, tiga hari sebelum filem itu ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 11 Ogos ini.

Ini telah menjadikan filem terbitan dan arahan Dhyan Vimal satu-satunya filem dari Malaysia yang diberi peluang seumpama ini.

"Saya sangat berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak AirAsia yang mengiktiraf filem pertama saya untuk ditayangkan dalam penerbangan mereka."

"Ia bukan sahaja menjadi detik sejarah buat saya dan seluruh produksi, tetapi juga industri perfileman tempatan," katanya yang ditemui pada majlis pratonton "Temuan Takdir" di GSC Mid Valley pada 26 Julai 2016.


Dhyan Vimal berpuas hati dengan kerja keras yang
dilakukan oleh setiap individu yang menjayakan filem "Temuan Takdir".

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai filem sulungnya ini, Dhyan Vimal yang juga Pengasas dan Pengerusi Sahabat Insan Malaysia (Friends To Mankind) ini berkata, projek filem ini adalah untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baru dalam menceburi bidang pembikinan filem.

"Saya mencetuskan 'Project Dignity' yang mana ia memberi peluang bagi mereka untuk mempelajari satu atau lebih kemahiran agar mereka dapat menggunakannya untuk mencari rezeki; namun yang paling penting adalah untuk membolehkan seseorang memiliki sesuatu kemahiran agar mereka dapat menyumbang dalam dunia ini," tambahnya.

Filem terbitan Zazen Design & Production ini menampilkan gabungan pelakon lama dan baru seperti Ery Zukhairi, Azura Zainal, Vanidah Imran, Amai Kamarudin, Thanuja Ananthan dan ramai lagi.

Ia mengisahkan tentang dua anggota polis adik-beradik yang menyiasat satu kes rompakan yang berkisar tentang cinta, keluarga, pengorbanan dan keselamatan.

Sementara itu, Dhyan Vimal turut memberitahu yang dia berpuas hati dengan hasil akhir filem ini dan berharap penonton-penonton akan ke pawagam untuk menonton filem ini sekaligus memberi sokongan terhadap filem tempatan.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Temuan Takdir (Melayu) (11 Ogos 2016)





Ticket Pricing Guide