Buletin
Thanuja Ananthan kongsi detik lucu "Temuan Takdir"


Tarikh disiarkan: 9 Jun 2016


Thanuja bawa watak sebagai dirinya dalam filem "Temuan Takdir".

9 Jun – Pelakon dan model, Thanuja Ananthan berkongsi detik lucu ketika menjayakan satu babak dalam filem terbaru lakonannya, "Temuan Takdir", apabila kakinya tidak muat untuk masuk ke dalam sebuah kereta memandangkan dia mempunyai ketinggian 183 sentimeter.

"Banyak detik 'istimewa' terutamanya yang sangat melucukan semasa berada dalam kereta. Kereta itu benar-benar 'cool', tetapi kaki saya tidak muat di dalamnya."

"Saya banyak kali tertawa ketika melakonkan babak tersebut," katanya yang dipetik dari Malaysian Digest.

Dalam filem arahan Dhyan Vimal itu, pemenang Ratu Cantik Dunia Malaysia 2009/2010 ini membawa watak menggunakan namanya sendiri, iaitu sebagai model dan anak seorang ahli perniagaan di mana perniagaannya telah dirompak.

Ia berkisarkan tentang dua adik-beradik yang merupakan pegawai polis dalam misi memburu dalang disebalik rompakan sebuah van sekuriti.

Penyiasatan mereka membawa kepada kegiatan kumpulan yang dianggotai tiga orang lain yang mana masing-masing mempunyai agenda tersembunyi.

Selain Thanuja, filem "Temuan Takdir" ini turut dibintangi pelakon lain seperti Vanidah Imran, Datuk Zahim Albakri, Ery Zukhairi dan Azura Zianal.

Ia dijadualkan akan menemui penonton di seluruh negara bermula 11 Ogos depan.

(Sumber foto: Thanuja Ananthan Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Temuan Takdir (Melayu) (11 Ogos 2016)





Ticket Pricing Guide