Buletin
Tiz Zaqyah idam bintangi filem biopik


Tarikh disiarkan: 8 November 2016


Tiz Zaqyah mahu industri perfileman tampil kepelbagaian cerita tanpa sekatan.

8 Nov – Pelakon Tiz Zaqyah menyuarakan keinginannya untuk membintangi filem bercorak biografi atau biopik pada masa depan, kerana menyifatkan watak-watak yang perlu dibawa oleh setiap pelakon dalam filem bergenre seperti itu sangat mencabar.

"Watak dalam karya sebegitu agak mencabar dan ia memerlukan kajian yang sebaiknya agar karakter dilakonkan sama dengan watak individu daripada cerita asal."

"Tetapi nak buat macam mana, agak sukar untuk masyarakat kita menerima karya berkonsep biopik kerana sensitiviti yang ditonjolkan," katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak juga mahu melihat industri perfileman tempatan berkembang dengan menampilkan kepelbagaian cerita tanpa sebarang sekatan.

Tambah pelakon "Cinta Kura Kura" ini lagi, pembikin filem perlu bersikap lebih terbuka dalam berkarya supaya dapat mendidik penonton.

Dalam pada itu, pelakon berusia 28 tahun itu berkata landskap industri perfileman tempatan memperlihatkan ada perubahan kecil seperti filem "Redha" dan "Pekak", yang mana ia kurang mendapat sambutan daripada penonton tetapi mendapat pujian dan perhatian di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Tiz memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama "Lara Cinta Ameena" yang bergandingan dengan Raja Afiq dan Zarina Zainoordin.

(Sumber Foto: Tiz Zaqyah Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: