Buletin
"Tombiruo" akhirnya bakal ke layar perak tahun hadapan!


Tarikh disiarkan: 22 Ogos 2016


Barisan pelakon-pelakon "Tombiruo: Penunggu Rimba".

22 Ogos – Filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" akhirnya bakal ke layar perak juga pada tahun hadapan selepas hampir dua tahun sepi tanpa sebarang berita sejak pelancaran pertamanya sehingga menimbulkan persoalan samada filem yang diadaptasi dari novel terkenal karya Ramlee Awang Murshid itu akan divisualkan atau tidak.

Ketua Pegawai Eksekutif Ideate Media, Zainir Aminullah berkata, filem berkenaan mengambil masa lama untuk masuk ke set penggambaran kerana proses praproduksi memakan masa yang lama bagi memastikan segala perancangan diatur dengan teliti.

"Kami mengambil masa yang lama kerana mahu memastikan ketelitian skrip dan proses ini memakan masa yang panjang.

"Sekiranya anda seorang pembaca novel-novel Ramlee sudah pasti anda tahu karyanya semuanya setebal 600 muka surat. Oleh itu bukan mudah untuk memilih babak penting dalam novel itu dan yang paling penting untuk memastikan bukan sahaja Ramlee yang berpuas hati, tetapi juga pembaca," katanya ketika sidang media "Tombiruo: Penunggu Rimba" di The Roof, One Utama baru-baru ini.


(Kiri-Kanan) Penerbit Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, penerbit Ideate Media, Zainir Aminullah,
penulis novel Ramlee Awang Murshid & penerbit Grup Buku Karangkraf, Puan Firdaus Hussamuddin.

Pada masa sama Zainir turut memberitahu antara salah satu faktor filem ini memulakan penggambaran lewat adalah kerana kekangan bajet.

Selain itu, pelakon-pelakon yang membintangi filem ini juga perlu mengikuti kelas lakonan dan latihan sebelum memasuki set penggambaran.

Tambahnya lagi, pihaknya mahu memastikan kualiti filem ini berkualiti dan mahu membawa filem ini ke pasaran antarabangsa.

Filem ini akan menyaksikan empat buah syarikat Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan akan bekerjasama sebagai penerbit filem.

Dalam pada itu, pengarah filem terkenal Nasir Jani kembali membuat kemunculan semula di bangku pengarah selepas 30 tahun menyepikan diri dari dunia seni.


Pengarah bersama "Tombiruo: Penunggu Rimba", Nasir Jani dan Seth Larney.

Nasir Jani yang popular dengan filem "Kembara Seniman Jalanan" dan "Rozana Cinta 87" ini bagaimanapun tidak berseorangan kerana beliau akan bersama Seth Larney untuk mengarah filem ini.

Pengarah dari Australia ini mempunyai portfolio yang cukup hebat yang mana beliau pernah terlibat dengan pembikinan filem-filem Hollywood seperti "The Matrix Reloaded", "The Matrix Revolutions", "Star Wars: Revenge of the Sith", "X-Men Origins: Wolverine", "The Chronicles of Narnia: Voyage of the Dawn Treader" dan "Superman Returns".

Walaupun filem ini mempunyai dua pengarah, namun kedua-dua pengarah ini akan mempunyai kepakaran masing-masing yang mana Nasir akan bertindak memberi sentuhan pada elemen drama dan penataan seni, manakala Seth pula akan memberi tumpuan kepada sudut teknikal, babak aksi dan kesan khas.

"Tombiruo: Penunggu Rimba" akan dibarisi pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Dynas Mokhtar, Datuk M. Nasir, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Penulis: Ashraf Nasser