Zahiril Adzim bakal muncul dengan filem tentang sisi gelap polis | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Zahiril Adzim bakal muncul dengan filem tentang sisi gelap polis

Penulis: Ashraf Nasser


Zahiril Adzim terima tawaran berlakon "One Two Jaga" dan "Pekak" kerana kedua-dua
merupakan sebuah naskhah yang hebat.

11 Ogos – Pelakon Zahiril Adzim bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul "One Two Jaga" arahan Namron yang mana mengisahkan tentang sisi gelap pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Zahiril atau nama sebenarnya Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, dalam filem tersebut dia akan memegang watak sebagai seorang anggota polis yang dikelilingi oleh anggota polis yang mengamal rasuah dan peras ugut.

"Naskhah ini sangat berani kerana ia menampilkan sisi gelap polis yang mana terdapat segelintir anggota ini yang melakukan jenayah."

"Menariknya adalah pihak PDRM sendiri telah melepaskan untuk membuat filem ini," katanya yang ditemui pada majlis pratonton "Pekak" di Pitching Center, Platinum Sentral, KL Sentral semalam.

Zahiril bagaimanapun berkata, walaupun pihak PDRM membenarkan mereka menghasilkan filem tersebut, namun ia sentiasa dipantau dan mereka diberi panduan dari segi pemakaian dan etika seorang anggota polis.

Dalam pada itu, bercerita mengenai filem terbarunya yang bakal ditayangkan pada 1 September ini iaitu, "Pekak", Zahiril tidak sabar untuk menunggu respon penonton terhadap naskhah garapan pengarah yang membuat debutnya iaitu Mohd Khairul Azri.

Memegang watak sebagai, Uda, iaitu seorang pengedar dadah, pelakon "Juvana" ini berkata dia terpaksa mengasingkan diri dan tidak bercakap dengan sesiapa pun sepanjang penggambaran berlangsung kerana mahu menjiwai watak Uda yang tidak mempunyai dialog.

Selain itu, dia juga perlu banyak bermain dengan emosi dan ekspresi wajah supaya apa yang ingin disampaikan dapat difahami oleh penonton.

Selain Zahiril, "Pekak" turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sharifah Amani, Sharifah Sakinah, Iedil Putra, Amerul Affendi dan ramai lagi.

Cinema Online, 11 Ogos 2016

Filem Berkaitan:
Pekak (Malay) (01 Sep 2016)
Juvana 2 (Malay) (29 Oct 2015)
Juvana (Malay) (24 Jan 2013)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan