Buletin
Zahiril Adzim: Watak Daim beri impak besar dalam hidup saya


Tarikh disiarkan: 27 September 2016


Zahiril Adzim bakal muncul dengan filem terbaru arahan Namron.

27 Sep – Pelakon Zahiril Adzim mengakui watak Daim yang dibawanya dari drama bersiri "Juvana" sehingga ke layar perak telah memberi impak besar dalam hidupnya di dalam dan di luar set penggambaran yang mana dia berasa murung.

"Watak Daim ini beri impak sehingga di luar set penggambaran yang mana saya terbawa-bawa sikap murung dan sedih itu sehingga ke rumah, kerana saya tidak mahu keluar dari watak itu selagi penggambaran belum selesai."

"Selepas habis sahaja penggambaran, saya terus lepas watak itu dan berkata 'aku tak nak lagi bawa kau lagi, kau punya karakter memang memurungkan sampai kehidupan peribadi aku terjejas'," katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana "Juvana 3: Perhitungan Terakhir" di mmCineplex eCurve, semalam.

Ditanya samada dia berdepan cabaran ketika menjayakan watak Daim berikutan penggambaran filem "Juvana 2 dan 3" dijalankan serentak, Zahiril berkata agak mencabar juga untuknya membawa watak Daim dengan sisi berbeza untuk dua buah filem.


Adam Shahz, Johan As'ari dan Zahiril Adzim merupakan watak utama dalam
"Juvana 3: Perhitungan Terakhir".


"Pada mula apabila diberitahu penggambaran "Juvana 2" akan dibuat bersama "Juvana 3", saya kurang bersetuju kerana merasakan tidak mahu lagi bawa watak Daim yang murung itu, tetapi apabila saya baca skrip, saya bersetuju kerana untuk filem ketiga ini watak Daim berbeza."

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai perancangan pengarah Faisal Ishak yang mahu mengekalkan francais "Juvana" ini pada masa hadapan dan samada dia akan terus kekal dengan francais itu atau tidak, Zahiril tidak berani untuk mengiyakan atau menidakkan.

Menurut Daim, sebelum dia membuat sebarang keputusan dia perlu membaca naskhah itu terlebih dahulu.

Sementara itu, Zahiril memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem "One Two Jaga" arahan Namron yang mengisahkan tentang sisi gelap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana ia turut disokong dan dipantau oleh PDRM sendiri.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Juvana 3: Perhitungan Terakhir (Melayu) (29 September 2016)
Pekak (Melayu) (1 September 2016)
Juvana 2 (Melayu) (29 Oktober 2015)





Ticket Pricing Guide