Buletin
Zul Ariffin sanggup kurangkan berat badan demi watak Tombiruo


Tarikh disiarkan: 22 Ogos 2016


Zul Ariffin nafi dirinya jadi mangsa eksploitasi.

22 Ogos – Pelakon popular Zul Ariffin mengakui dia terpaksa mengurangkan berat badannya sebanyak 11 kilogram daripada 92 kilogram demi menjayakan wataknya dalam filem terbaru lakonannya berjudul "Tombiruo: Penunggu Rimba".

"Tombiruo: Penunggu Rimba" adalah adaptasi dari novel terkenal nukilan Ramlee Awang Murshid.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin mengakui ia merupakan satu proses yang cukup sukar dan mencabar buat dirinya kerana dia sememangnya kurang mengamalkan diet biarpun mempunyai tubuh yang sasa.

"Saya terpaksa berdiet makan sehari sekali sahaja dan tidak makan langsung nasi selama kira-kira 2 bulan untuk mengekalkan bentuk tubuh badan untuk filem ini.

"Semenangnya penat dan lesu kerana saya tidak sentuh langsung makanan dan hanya minum minuman manis untuk memberi tenaga kepada saya untuk meneruskan penggambaran filem," katanya yang ditemui selepas sidang media filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" di The Roof, One Utama baru-baru ini.


Zul Ariffin bersama dua lagi pelakon "Tombiruo: Penunggu Rimba" Farid Kamil dan
Nabila Huda.

Selain perlu mengurangkan berat badan, pelakon berusia 30 tahun itu juga perlu menggunakan bahasa badan termasuk gerakan mata untuk berkomunikasi berikutan wataknya sebagai Tombiruo tidak mempunyai banyak dialog dan sering memakai topeng.

Dalam pada itu, Zul juga memberitahu dalam filem menuntutnya tidak berbaju untuk hampir keseluruhan filem dan hanya memakai aksesori badan seiring dengan gambaran watak tersebut dalam novel itu.

Zul bagaimanapun menafikan dirinya menjadi mangsa eksploitasi untuk menarik penonton ke pawagam, sebaliknya berkata naskhah itu sendiri sudah cukup kuat untuk berbuat demikian.

Filem terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan ini dijangka akan menemui penonton di seluruh negara pada tahun hadapan.

"Tombiruo: Penunggu Rimba" akan dibarisi pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Dynas Mokhtar, Datuk M. Nasir, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Penulis: Ashraf Nasser