Buletin
"Adiwiraku" sebuah naskhah inspirasi


Tarikh disiarkan: 21 Februari 2017


Barisan pelakon, pengarah, penerbit dan juga guru Bahasa Inggeris SMK Pinang Tunggal,
Cheryl Ann Fernando.

21 Feb – Jika dilihat dari judul filem ini, rasanya pasti ramai yang sangsi atau tidak tertarik kerana merasakan filem "Adiwiraku" ini hanyalah sebuah naskah biasa-biasa sahaja memandangkan ia tidak membariskan barisan pelakon popular tanah air.

Namun jangkaan itu pasti akan meleset sekiranya anda sendiri tonton filem itu di pawagam kelak, kerana filem arahan Eric Ong ini mempunyai kesemua elemen yang mencantikkan lagi jalan cerita yang ditampilkan berdasarkan kisah sebenar ini.

"Pada mulanya saya rancang nak buat filem pendek sahaja, tetapi selepas berbincang dengan penerbit eksekutif Jason Chong, dia mencadangkan supaya menghasilkan sebuah filem cereka selepas membuat sedikit penyelidikan di internet.

"Kalau tengok cerita ini di internet, cerita ini tidak lengkap kerana ia hanya memaparkan sedikit butiran sahaja, oleh itu saya merasakan ia adalah satu idea yang menarik untuk saya bawa cerita ini ke layar perak," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem "Adiwiraku" di mmCineplexes, eCurve, semalam.

Tambah Eric lagi, apa yang membuatkan dia bersemangat untuk menghasilkan filem ini adalah kerana kagum dengan sikap guru Bahasa Inggeris, Cheryl Ann Fernando, yang tidak pernah putus asa dalam mendidik anak muridnya yang tidak tahu menulis dan membaca dengan caranya sendiri.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pemilihan pelakon dalam filem ini, Eric berkata mereka berjaya mendapatkan 90 peratus pelajar asal dari sekolah tersebut.

"Adiwiraku" terbitan Sol Pictures Sdn Bhd ini adalah sebuah kisah inspirasi mengenai keazaman seorang guru membantu anak-anak muridnya mempelajari Bahasa Inggeris selain mengenali setiap seorang daripada anak muridnya serta permasalahan yang mereka hadapi.

Selain pelakon asal daripada kalangan pelajar Sekolah Menangah Kebangsaan Pinang Tunggal, ia turut dibintangi oleh Sangeeta Krishnasamy yang membawa watak sebagai guru serta Xavier Fong, Wan Azlyn, Farra Safwan dan Adnin Zidane.

"Adiwiraku" bakal menemui penonton di 52 panggung di seluruh negara bermula 9 Mac ini.

Sementara itu, walaupun filem ini belum ditayangkan namun ia telah berjaya mencipta kejayaan awal apabila berjaya menempatkan diri di separuh akhir dalam Equality International Film Festival dan finalis Phoenix Film Festival Melbourne 2017.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Adiwira Ku (Melayu) (9 Mac 2017)





Ticket Pricing Guide