Bront Palarae tak berniat pindah ke Indonesia | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Bront Palarae tak berniat pindah ke Indonesia

Penulis: Ashraf Nasser


Bront sanggup berulang-alik ke Indonesia kerana tempoh perjalanan singkat.

7 Dis – Pelakon Bront Palare menjelaskan tiada keperluan untuknya berhijrah ke negara seberang Indonesia untuk mengembangkan kerjaya seninya, biarpun mendapat banyak tawaran berlakon kerana dia boleh berulang-alik sekiranya ada projek di sana.

"Alhamdulillah semenjak saya berlakon dalam siri mini HBO, "Halfworlds", memang tawaran daripada produksi dari Indonesia banyak.

"Malah selepas filem "Pengabdi Setan" ditayangkan, tawaran memang bertambah sehingga ada sangka saya menetap di sana. Idea untuk berpindah ke Indonesia mungkin tidak perlu dan saya boleh berulang-alik, tambahan pula tempoh penerbangan ke Indonesia tidak memakan masa lama," ujarnya yang dipetik dari mStar.

Tambah pelakon berusia 39 tahun itu lagi, keputusan untuk tidak berpindah juga dibuat kerana dia tidak mahu tinggalkan kerjaya seni di tanah air selain sudah mempunyai banyak perancangan yang memerlukan dia berada di sini.

Dalam pada itu, Bront berkata kolaborasi dengan produksi Indonesia merupakan satu kelebihan buatnya dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka pula selepas ini untuk projek-projek di Malaysia.

Bercerita lanjut mengenai wataknya dalam filem seram arahan Joko Anwar, Bront pada mulanya menolak kerana tidak mahu membawa watak sebagai bapa selain persiapan yang singkat, namun selepas dipujuk oleh pengarah untuk baca skrip terlebih dahulu, dia mula tertarik dengan jalan cerita filem itu.

"Pengabdi Setan" telah menjadi filem terlaris di Indonesia dengan lebih 4.2 juta orang menonton filem ini dan ia turut mencipta rekod sebagai filem Indonesia terlaris di Malaysia dengan kutipan lebih RM4 juta.

Sementara itu, Bront memberitahu dia bakal muncul dengan filem Indonesia terbaru berjudul "Ayat-Ayat Cinta 2" yang mana ia turut menampilkan seorang lagi pelakon tempata iaitu Nur Fazura.

(Sumber foto: Bront Palarae Instagram)

Cinema Online, 07 Dis 2017

Filem Berkaitan:
Pengabdi Setan (Indonesian) (23 Nov 2017)
Jwanita (Malay) (24 Sep 2015)
Ombak Rindu (Malay) (01 Dec 2011)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan