Bront bawa watak Yahudi dalam "Ayat-Ayat Cinta 2" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Bront bawa watak Yahudi dalam "Ayat-Ayat Cinta 2"

Penulis: Ashraf Nasser


Bront Palarae dalami budaya Yahudi untuk bawa watak sebagai Barruch.

8 Ogos – Pelakon popular, Bront Palarae mendedahkan dirinya bakal membintangi filem Indonesia berjudul "Ayat-Ayat Cinta 2" yang akan ditayangkan tidak lama lagi dengan membawa watak yang mungkin akan mencetuskan kontroversi nanti.

Menurut Bront, dalam filem sekuel terbitan MD Picture itu dia akan membawa watak sebagai Barruch, iaitu seorang lelaki berbangsa Yahudi yang menetap di Eropah.

"Saya melakonkan watak bernama Barruch, seorang lelaki yang ditemui Fahri (watak utama) di Edinburgh. Menariknya, saya melakonkan watak berbangsa Yahudi yang memerlukan saya mendalami cara dan budaya orang Yahudi termasuk mempelajari bahasa Hebrew untuk berdialog.

"Ini benda baru yang tidak pernah saya temui dalam karya di tanah air. Itu seronoknya terlibat dalam produksi luar. Bagusnya watak ini kerana ia tidak menyentuh soal agama atau pun pegangan akidah. Tiada babak sembahyang atau ritual agama. Jadi tiada masalah dalam soal itu," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Pelakon "Ola Bola" ini bagaimanapun berkata cabaran yang dihadapinya dalam menjayakan watak ini adalah perlu membuatkan penonton percaya bahawa Barruch seorang Yahudi baik dari segi penampilan, percakapan dan bahasa tubuh.

Dalam pada itu, pelakon berusia 38 tahun itu mengakui tidak pernah menonton atau membaca novel "Ayat-Ayat Cinta", namun ia tidak bermakna dia tidak boleh membawa watak tersebut kerana wataknya tidak perlukan rujukan dari sekuel pertama.

Selain Bront, filem arahan Guntur Soeharjanto ini turut menampilkan seorang lagi pelakon tempatan iaitu Nur Fazura.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya Bront bakal muncul dengan filem seram Indonesia berjudul "Pengabdi Setan" dan "Daddy's Home" (Filipina).

(Sumber foto: Malaysian Digest)

Cinema Online, 08 Ogos 2017

Filem Berkaitan:
Ola Bola (English / Malay / Mandarin / Tamil) (28 Jan 2016)
Ombak Rindu (Malay) (01 Dec 2011)
Kau Takdirku (Malay) (07 Sep 2017)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan