Buletin
Dua pelakon berdepan saman RM1.5 juta


Tarikh disiarkan: 28 April 2017


Sebelum ini kedua-dua pelakon ini telah membuat laporan polis mendakwa tidak
mendapat bayaran daripada pihak produksi.

28 Apr – Dua pelakon sebuah drama berjudul "Yes Sir Nak Pergi Mana", Azrel Ismail dan Risteena Munim kini berdepan tindakan undang-undang saman RM1.5 juta oleh pihak produksi JNI Creative Sdn Bhd.

Menurut wakil peguam syarikat produksi tersebut, Mohd Fadly Hashim berkata tuntutan itu dikeluarkan berikutan kedua-dua pelakon tersebut tidak mahu menyelesaikan baki penggambaran sehingga menyebabkan produksi mengalami kerugian.

"Pihak produk mahu menuntut kembali sebanyak 30 peratus bayaran daripada keseluruhan kontrak termasuk jumlah yang telah dibelanjakan syarikat untuk menghasilkan drama itu. Selain itu dalam tuntutan sama pihak produksi turut menuntut jumlah sepatutnya diterima syarikat sekiranya drama ini berjaya disiapkan.

"Pada masa sama, pihak produksi mahu mereka menjelaskan mengenai kenyataan yang mereka keluarkan kepada pihak media berhubung dakwaan tidak menerima baki bayaran," ujarnya yang dipetik dari mStar.

Tindakan undang-undang ini dibuat selepas Azrel bersama beberapa pelakon dan kru produksi drama tersebut telah membuat satu laporan polis pada 17 April lalu selepas mendakwa pihak produksi tersebut gagal membuat bayaran kedua sebanyak 20 peratus.

Mohd Fadly memberitahu notis saman telah dihantar kepada kedua-dua pelakon itu dan mereka perlu memberi respons dalam tempoh dua minggu.

Dalam pada itu, wakil produksi Muhibuddin Ahmad berkata pihak mereka sedia menarik balik saman itu sekiranya kedua-dua pihak mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan bersama.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide