Buletin
Empat hari ditayangkan, "Tombiruo" berjaya kutip RM2 juta


Tarikh disiarkan: 17 Oktober 2017


Mampukah "Tombiruo" mengatasi kutipan filem "Abang Long Fadil 2"?

17 Okt – Filem aksi drama yang ditunggu-tunggu "Tombiruo: Penunggu Rimba" sudah pun ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 12 Oktober lalu, dan ia berjaya menepati jangkaan penonton apabila telah berjaya mengutip RM2 juta selepas empat hari ditayangkan.

Filem yang ditayangkan di 115 pawagam di seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura ini mendapat respon positif daripada penonton, malah filem yang diadaptasi dari karya novelis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid ini juga berada di tangga kedua untuk carta filem Golden Screen Cinemas (GSC).

Kejayaan ini sekaligus berjaya mengenepikan filem-filem blockbuster luar negara seperti "Blade Runner 2049", "Kingsman: The Golden Circle" dan "The Foreigner".

"Alhamdulillah, dalam keadaan kutipan industri filem tempatan yang agak kurang menentu sekarang ini, karya "Tombiruo: Penunggu Rimba" dilihat diterima oleh kebanyakkan penonton.


"Kami amat hargai sokongan penonton serta komen-komen yang dikongsi. Saya mewakili pihak penerbit berharap penonton yang telah menonton filem ini akan mengajak rakan-rakan serta keluarga untuk menyaksikan filem ini di pawagam," ujarnya Penerbit Eksekutif Layar Sunan dan Penulis novel, Ramlee Awang Murshid.

Filem arahan Seth Larney bersama pengarah bersekutu Nasir Jani ini berkisarkan tentang Ejim a.k.a Tombiruo yang disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia. Namun apabila satu insiden tragis berlaku padanya, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam.

Filem terbitan Astro Shaw ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat tempatan seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Dato' M.Nasir, Faisal Hussein, Dynas Mokhtar, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan: