Fazura buktikan dirinya mampu galas watak mencabar | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Fazura buktikan dirinya mampu galas watak mencabar

Penulis: Ashraf Nasser


Fazura berpuas hati dengan lakonannya sebagai Dian dalam "J Revolusi".

16 Feb – Pelakon dan pengacara jelita, Fazura sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya untuk menggalas watak mencabar dan hasratnya itu tercapai juga apabila dia ditawarkan berlakon dalam sebuah filem aksi berjudul "J Revolusi".

Dalam filem tersebut Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin membawa watak sebagai Dian iaitu seorang pengintip yang memerlukannya berperwatakan tegas sekaligus lari dari watak lemah-lembut atau perempuan 'gedik' yang pernah dibawanya sebelum ini.

"Saya sememangnya sukakan cabaran, dan apabila saya mendapat tawaran ini saya terus terima kerana mahu mencabar diri membawa watak yang akan menguji kemampuan lakonan saya.

"Pada masa sama saya juga mahu membuktikan kepada diri saya sendiri yang saya boleh melakukannya sekaligus menidakkan dakwaan 'haters' yang berkata saya tidak boleh berjaya," katanya yang ditemui pada majlis pratonton "J Revolusi" di mmCineplex, ECurve semalam.

Bercerita lanjut mengenai wataknya dalam filem ini, Fazura berkata dia mengambil filem-filem lakonan Angeline Jolie sebagai rujukannya dalam mencorak watak Dian.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang menjayakan filem ini, Fazura memberitahu cabaran yang dihadapinya adalah perlu berada dalam tempoh yang lama di set penggambaran.

"Bagi saya perkara yang mencabar adalah saya perlu berada di lokasi penggambaran untuk tempoh yang lama. Saya kalau 'stay up' lama mata saya mesti jadi merah. Itu sahaja. Yang lain saya rasa tiada cabaran sangat."

Selain Fazura, filem arahan Zulkarnaian Azhar ini turut menampilkan Zul Ariffin, Farid Kamil dan Izara Aishah sebagai peneraju selain dibarisi pelakon pembantu lain seperti Azad Jazmin, Iedil Putra, Fatimah Abu Bakar, Dato' Hans Isaac dan beberapa atlet Seni Bela Diri Campuran (MMA).

Filem terbitan Grand Brilliance dan Infinitus Productions ini bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 2 Mac ini.

Cinema Online, 16 Feb 2017

Filem Berkaitan:
J Revolusi (Malay) (02 Mar 2017)
Langit Cinta (Malay) (07 Jan 2016)
Manisnya Cinta Di Cappadoccia (Malay) (11 Dec 2014)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan