Filem aksi "Jailbreak" bakal ditayangkan di Malaysia? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem aksi "Jailbreak" bakal ditayangkan di Malaysia?

Penulis: Ashraf Nasser


Ketua Pegawai Eksekutif WML, Michael Chai, bersama Dato' Kamil Othman dan
Pengarah Pengedaran untuk WML, Simon Choo.

6 Feb – Peminat-peminat filem aksi tempatan mungkin boleh bersiap sedia untuk ke pawagam untuk menyaksikan sebuah filem yang padat dengan aksi pertarungan hebat iaitu "Jailbreak".

Filem ini merupakan filem aksi terbesar ketika ini di Kemboja dan telah mencetuskan fenomena di sana dengan sambutan yang diterima sangat positif di kalangan penonton.

Filem aksi Khmer ini juga telah mendapat kutipan tertinggi untuk sebuah filem tempatan di Kemboja pada hari pertama tayangannya.


Antara babak aksi yang terdapat dalam "Jailbreak".

Malah apa yang membuatkan filem ini lebih menarik adalah ia adalah sebuah filem kolaborasi antara Kemboja dan Malaysia menerusi Imaginex Studios Sdn Bhd, yang mana ia terlibat dalam kesan bunyi khas, dan juga Basecamp Films, yang membuat 'colour grading' dan banyak lagi.

Baru-baru ini, satu tayangan tertutup telah diadakan di GSC Mid Valley untuk pihak industri dan Cinema Online antara yang bertuah dijemput untuk menjadi antara yang pertama untuk menonton filem "Jailbreak".


"Jailbreak" menampilkan barisan pelakon-pelakon muka baru yang terdiri daripada
pengamal seni mempertahankan diri.

Ketua Pegawai Eksekutif Westec Media Limited (WML), Michael Chai, berharap agar filem aksi ini dapat ditayangkan di Malaysia kerana ia adalah sebuah filem kolaborasi antara dua buah negara.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tenaga kerja di Malaysia iaitu Imaginex Studios kerana telah memberikan yang terbaik kepada "Jailbreak"," katanya.

Tayangan tertutup yang dimeriahkan dengan kehadiran rakan industri dan keluarga turut dihadiri oleh bekas Ketua Pengarah FINAS iaitu Dato' Kamil Othman.

Sementara itu, Kamil Othman yang ditemui selepas tayangan filem "Jailbreak" memuji usaha kerjasama yang dilakukan oleh pihak produksi "Jailbreak" iaitu Kongchak Pictures dan juga Imaginex Studios.

"Usaha ini adalah salah satu perkara yang saya tekankan ketika menjawat jawatan sebagai KP FINAS kerana saya mahu pembikin filem tempatan mula membuka mata dan berani untuk meneroka pasaran baru iaitu di peringkat antarabangsa.

"Sekiranya tidak mempunyai modal yang cukup untuk menghasilkan sebuah filem, cari pelabur atau berkolaborasi dengan produksi luar negara. Dengan ini, filem yang kita hasilkan, ia dapat dipasarkan di luar negara juga sekaligus memperkenalkan industri filem tempatan ke persada antarabangsa," ujarnya.

Kamil Othman yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden AFCNet kini dalam rangka strategi untuk membantu pembikin filem tempatan mencari pelabur atau membuat kolaborasi dengan produksi luar negara.


Antara mereka yang hadir ketika tayangan tertutup "Jaibreak" yang diadakan baru-baru ini.

"Jailbreak" mengisahkan tentang empat pegawai polis memindahkan seorang penjenayah yang dikenali sebagai Playboy ke sebuah penjara untuk perbicaraan atas pembabitannya dalam satu organisasi jenayah terancang. Ketua kumpulan organisasi tersebut kemudian telah mengarahkan salah seorang banduan dalam penjara itu untuk membunuh Playboy. Rusuhan telah tercetus di dalam penjara dan ini menyebabkan kesemua mereka terperangkap. Mereka perlu berdepan dengan ratusan banduan yang mahu membunuh mereka dan pada masa yang sama mereka perlu menyelamatkan nyawa Playboy.

Diarahkan oleh pengarah berasal dari Itali yang berpengkalan di Kemboja, Jimmy Handerson ("Hanuman"), "Jailbreak" dibintangi oleh pelakon lagak ngeri Perancis-Kemboja, Jean Paul-Ly ("Marvel's Doctor Strange"), atlet Bokator Dara Our, atlet MMA Tharoth Sam, aktres Perancis-Vietnam Celine Tran, dan pelakon kemboja Savin Phillip dan Sisowath Siriwudd.


Klik sini untuk tonton treler
Cinema Online, 06 Feb 2017


Anda Mungkin Juga Suka:
Halaman filem "Jailbreak"
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan