Buletin
FINAS serah hak IP kepada produksi tempatan


Tarikh disiarkan: 28 Jun 2017


Menteri KKMM bersama KP FINAS dan penerbit filem yang menerima IP.

28 Jun – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengambil langkah baru untuk terus memacu industri perfileman tempatan dengan penyerahan kandungan harta intelek (IP) kepada syarikat produksi tempatan.

Inisifatif oleh Kementerian dan FINAS ini dibuat sebagai perintis kepada usaha membangunkan platform pemasaran dan pemilikan kandungan oleh produksi tempatan yang telah mendapat pembiayaan penerbitan melalui Dana Animasi dan Dana Kenegaraan FINAS.

Menurut Ketua Pengarah FINAS, Dato' Fauzi Ayob untuk peringkat pertama ini sebanyak empat IP filem diserahkan kepada syarikat produksi iaitu Pesona Pictures Sdn Bhd (Tanda Putera), Infinite Motion Sdn Bhd (Oh La La), Tangan Seni Sdn Bhd (Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior) dan Funcel Sdn Bhd (7 Satria).

"Ketika saya mula bertugas sebagai KP FINAS baru saya telah menggariskan beberapa hala tuju baru FINAS yang mana salah satunya adalah menyerahkan semula IP kepada syarikat produksi.

"Tujuan penyerahan ini dibuat adalah bagi membolehkan syarikat produksi tersebut dapat menjual atau memasarkan filem mereka ke luar negara," ujarnya yang ditemui pada majlis penyerahan IP yang berlangsung di FINAS, Hulu Kelang, KL semalam.

Turut hadir ketika acara penyerahan tersebut adalah Menteri KKMM, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha KKMM, Dato Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengerusi FINAS Dato' Mohd Khusairi Abdul Talib.

Dalam pada itu, Fauzi Ayob berkata pihaknya kini sedang dalam proses mengenal pasti dan menyenaraikan IP lain untuk dipulangkan semula kepada produksi secara berperingkat-peringkat.

Sementara itu, selain majlis penyerahan IP majlis iftar anjuran FINAS juga menghimpunkan hampir 500 tetamu jemputan termasuk presiden dan ahli persatuan perfileman, karyawan dan penggiat industri.

(Sumber foto: FINAS Facebook)

Penulis: Ashraf Nasser