Buletin
Josiah Hogan digugurkan dari filem Hollywood


Tarikh disiarkan: 25 September 2017


Josiah Hogan tidak patah semangat sebaliknya akan terus berusaha untuk tembusi
pasaran Hollywood.

25 Sep – Pelakon Josiah Hogan mendedahkan namanya telah digugurkan dari sebuah filem produksi Hollywood sekitar Disember tahun lalu atas alasan yang tidak masuk akal, iaitu bergurau perkara yang tidak sepatutnya.

Menurut Josiah atau nama sebenarnya Mohamad Musleh, dia sepatutnya membawa watak sebagai makhluk elf (orang bunian), dan berikutan penguguran namanya, habuan yang dijanjikan sebanyak USD67,000 (RM280,700) hilang begitu sahaja.

"Sekitar Disember tahun lalu, saya telah terlepas sebuah tawaran berlakon sebuah filem di Hollywood. Sebenarnya, nama saya digugurkan kerana produksi berkenaan memberi alasan sikap saya yang dilihat cuba bergurau secara keterlaluan dalam satu kiriman video kepada mereka.

"Ketika itu, saya diarahkan membuat video sebagai pengganti kerana tidak dapat hadir ke acara memperkenalkan pelakon di sana. Saya tidak boleh ke mana-mana kerana terikat dengan penggambaran semula beberapa babak filem "KL Vampires"," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!


Dalam pada itu, Josiah yang kecewa dengan perkara itu bagaimanapun tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus cuba menembusi pasaran Hollywood.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Josiah berkata dia kini sedang menunggu tiga buah filem lakonannya untuk ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Filem tersebut adalah "Surf This Love", "KL Special Force" dan "KL Vampires".

(Sumber foto: Blog Yumida)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
LuQman (Melayu) (28 September 2017)





Ticket Pricing Guide