Buletin
Kisah klasik Melayu "Badang" diangkat jadi adiwira


Tarikh disiarkan: 9 Januari 2017


Pengarah bersama barisan pelakon dan tenaga kerja filem "Badang".

9 Jan – Pengarah filem tersohor tanah air Dato' Prof Dr. A Razak Mohaideen bakal tampil dengan filem adiwira pertamanya berjudul "Badang" yang diangkat dari mitos kisah klasik Melayu namun diberi nafas baru dalam penceritaannya.

Menurut Razak Mohaideen, beliau mahu menghasilkan filem berbentuk adiwira kerana mahu memberikan variasi filem adiwira yang ada di Malaysia.

"Filem "Badang" diwujudkan bagi memberikan variasi filem berbentuk adiwira di Malaysia sambil mengangkat jenama Badang yang amat popular dalam kisah rakyat Malaysia.

"Adaptasinya lebih menarik kerana mendapat sentuhan moden dan banyak usaha yang telah dicurahkan bagi menjayakan filem ini," katanya yang ditemui pada majlis doa selamat dan bacaan skrip "Badang" di INTEKMA Resort, Shah Alam baru-baru ini.


Pelakon utama "Badang", Dato' Aliff Syukri dan Fasha Sandha.

Tambahnya lagi, filem "Badang" terbitan FiTA Studios Sdn Bhd ini juga akan menyaksikan kolaborasi dengan syarikat produksi gergasi tempatan KRU Studios yang akan terbabit dengan penggunaan CGI (Imej Janaan Komputer).

Dalam pada itu, ditanya mengenai pemilihan pengasas produk D'Herbs, Dato' Aliff Syukri Kamarzaman sebagai pelakon utama iaitu sebagai Badang, Razak Mohaideen berkata beliau mahu seorang yang popular untuk berlakon tetapi bukan dari golongan pelakon.

Selain mempunyai populariti tinggi, Dato' Aliff juga mempunyai bakat lakonan sekaligus mampu menggalas tanggungjawab sebagai teruju utama bergandingan dengan Fasha Sandha.

Selain Dato' Aliff dan Fasha Sandha, filem ini turut dibintangi oleh Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi dan ramai lagi.

"Badang" akan memulakan penggambaran pada minggu hadapan iaitu pada 15 Januari dan akan berlangsung selama 35 hari.

Ia dijangka akan ditayangkan pada hujung tahun ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Chowrasta (Melayu) (3 Disember 2015)
Anak Mami Nasi Kandaq (Melayu) (6 Julai 2016)
SKRIP 7707 (Melayu) (16 Julai 2009)