Buletin
Syafiq Yusof bakal arah "KL Gangster: Underworld" untuk iflix


Tarikh disiarkan: 6 Disember 2017


Filem "KL Gangster" yang pertama ditayangkan pada tahun 2011.

6 Dis – Pengarah filem muda berbakat besar, Syafiq Yusof bakal muncul dengan drama bersiri "KL Gangster: Underworld" untuk tayangan di platform penstriman video-atas-permintaan (VOD), iflix.

Dalam drama bersiri yang merupakan 'spin-off' daripada filem "KL Gangster 1 & 2" arahan abangnya Syamsul Yusof, Syafiq akan dibantu oleh pengarah bersama iaitu Faisal Ishak yang pernah mengarah filem francais "Juvana".


Drama terbitan Skop Production ini akan menyaksikan akan menjalani penggambaran sepenuhnya di Malaysia dan dijangka akan ditayangkan pada pertengahan tahun 2018.


"KL Gangster: Underworld" menjadi drama bersiri pertama Malaysia ditayangkan di iflix.

Dalam pada itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Skop Productions, Datuk Yusof Haslam teruja apabila berpeluang menjalin kerjasama dengan iflix.

"Kami berbangga untuk mendapat peluang berkolaborasi dengan iflix dalam menghasilkan karya tempatan berkualiti seperti "KL Gangster: Underwold", yang merupakan drama bersiri pertama iflix di Malaysia.

"Kolaborasi ini merupakan satu usaha baru dalam meneroka potensi baru untuk industri filem Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program Asal iflix, Mark Francis turut sama teruja untuk bekerjasama dengan salah sebuah produksi hebat Malaysia yang sering menghasilkan filem-filem pecah panggung.

"Sasaran kami adalah untuk memberikan penonton iflix satu pengalaman baru terhadap drama tempatan menerusi naskhah asal kami. Filem "KL Gangster" merupakan satu asas yang sempurna untuk drama siri yang mana ia akan menampilkan sesuatu yang segar dan kejutan kepada peminat."

Jalan cerita "KL Gangster: Underworld" akan mengambil tempat selepas kejadian dalam "KL Gangster 1" selepas kumpulan gengster berpecah dan ketua-ketua meringkuk di penjara atau mati. Disebalik itu seorang ahli kumpulan gengster cuba keluar dari dunia jenayah, namun satu insiden telah membawanya kembali ke jalan lama. Sementara itu, ancaman baru yang lebih hebat mula timbul dan memulakan era baru KL Gangster.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
KL Gangster 2 (Melayu) (3 Oktober 2013)
KL Gangster (Melayu) (9 Jun 2011)