Buletin
"KL Wangan" temui penonton Disember ini


Tarikh disiarkan: 1 September 2017


"KL Wangan" bakal menjadi salah sebuah filem terhebat tahun ini.

1 Sep – Pengarah dan pelakon, Pekin Ibrahim telah mengesahkan bahawa filem aksi terbaru arahannya berjudul "KL Wangan" bakal ditayangkan di seluruh negara pada hujung tahun ini iaitu pada Disember.

Menurut Pekin, pihaknya kini sedang dalam proses pos-produksi yang mana ia sudah hampir selesai menyiapkan filem itu.

"Sekarang ini kami sedang dalam proses untuk buat CGI dan skor muzik. Penggunaan CGI ini hanyalah untuk 'touch-up' sahaja seperti buang latar belakang yang tak perlu atau wayar kabel macam tu sahaja.

"Ini kerana filem saya ini boleh dikatakan melakukan hampir kesemua babak aksi sendiri atau 'real' tanpa bantuan CGI," ujarnya yang ditemui ketika di set penggambaran filem terbarunya di Cyberjaya baru-baru ini.

Tambah pelakon "Kampung Drift" ini lagi, dia sangat teruja dapat menghasilkan "KL Wangan" kerana ia adalah sebuah naskhah baginya cukup sempurna dari semua aspek seperti bajet dan juga kerjasama daripada pelakon.


Pekin Ibrahim yakin filemnya mampu membuatkan penonton turut teruja menontonnya.

"Apa yang saya boleh katakan adalah saya berasa sangat gembira dengan filem ini kerana semuanya lengkap, tidak seperti filem pertama saya iaitu "Mat Moto" yang serba kekurangan."

Lebih membanggakan Pekin adalah apabila pihak Volkswagen Malaysia bersetuju untuk menjadi penaja utama untuk filem aksinya di mana dia diberi beberapa buah biji kereta Volkswagen untuk digunakan dalam filem arahannya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai "KL Wangan" Pekin yakin bahawa filemnya mampu menjadi sebuah filem 'box office' kerana dia tidak mengambil jalan pintas untuk melonjakkan filemnya sebaliknya dia melabur banyak demi memastikan karya yang dihasilkan berkualiti.

Jumlah yang dilaburkan untuk keseluruhan produksi dan promosi dianggarkan sekitar RM7 juta.

Pada masa sama Pekin turut memberi fokus kepada promosi filemnya di mana dia dikatakan sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk tujuan tersebut.

Malah mereka juga merancang untuk melakukan promosi jelajah ke seluruh Malaysia.

Filem terbitan Centro Pictures ini akan menampilkan rapper popular Altimet yang akan menyanyikan lagu OST untuk filem ini.

"KL Wangan" berkisarkan tentang dua orang pelumba, Hong dan Yudi mempunyai sejarah di arena perlumbaan kereta biasa hingga berkuasa besar.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, Kazuto Soon, Emily Lim dan Jasmine Suraya.

(Sumber foto: KL Wangan Facebook)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: