Buletin
"Munafik", "Ola Bola" menang anugerah di FFAP


Tarikh disiarkan: 31 Julai 2017


"Munafik" & "Ola Bola" mengharumkan nama negara ke persada antarabangsa.

31 Jul – Festival Filem Asia Pasifik Ke-57 (FFAP) yang telah berlangsung dari 28 hingga 30 Julai 2017 di Phnom Penh, Kemboja menyaksikan dua buah filem tempatan iaitu "Munafik" dan "Ola Bola" berjaya merangkul anugerah.

Dipetik dari laman sosial FINAS, Syamsul Yusof telah berjaya membawa pulang trofi Pengarah Terbaik FFAP tahun ini, manakala filem "Ola Bola" arahan Chiu Keng Guan pula membawa pulang trofi Suntingan Terbaik.

Ketika acara berlangsung, Syamsul tidak dapat hadir untuk mengambil anugerah, sebaliknya diwakili oleh Mr. Pashah yang mewakili Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Kejayaan pengarah muda itu mengikut jejak langkah Allahyarham Yasmin Ahmad yang pernah menerima anugerah saya pada tahun 2010 menerusi filem "Mualaf" ketika FFAP Ke-54 di Taipei, Taiwan.

Syamsul yang tidak menyangka menang memanjat kesyukuran apabila filemnya berjaya menembusi pasaran luar negara biarpun ia mengetengahkan konsep keagamaan.

Terdahulu, Syamsul juga pernah merangkul anugerah Pengarah Terbaik menerusi filem sama pada Festival Filem Malaysia Ke-28 (FFM 28) dan Anugerah Skrin 2016.


Trofi Pengarah Terbaik FFAP Ke-57 dimenangi oleh Syamsul Yusof
(Sumber gambar: FINAS' Facebook).

Sementara itu, Timbalan Presiden Astro Shaw, Najwa Abu Bakar yang menerima anugerah Suntingan Terbaik yang dimenangi oleh Gwyneth Lee mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh produksi dan juga juri di atas kemenangan ini.

"Ola Bola" juga mengikut jejak filem "Loceng Maut" (Salehan Shamsuddin) dan "Jasmin 2" (Johari Ibrahim) yang turut memenangi trofi Suntingan Terbaik ketika FFAP Ke-24 di Sydney, Australia dan FFAP Ke-31 di Seoul, Korea Selatan.

Terdahulu, antara aktor Malaysia yang pernah memenangi trofi berprestij itu termasuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee (Pelakon Terbaik, "Anakku Sazali"), A. Bakar Ali (Sinematografi terbaik, "Sumpah Orang Minyak"), Khalid Salleh (Pelakon Terbaik, "Jogho"), Sidi Oraza (Pelakon Pembantu Terbaik, "Sayang Salmah"), Khatijah Tan (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, "Embun"), dan Maya Karin (Pelakon Wanita Terbaik, "Pontianak Harum Sundal Malam").

Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) telah bermula sejak 1954, di mana edisi pertama pada asalnya dinamakan sebagai Festival Filem Asia Tenggara yang diadakan di Tokyo.

Edisi Ke-57 sepatutnya berlangsung di Thailand pada tahun 2014, tetapi akibat dari kesihatan Raja Thailand yang sakit menyebabkan ia ditangguhkan dan akhirnya ia diadakan tahun ini di Kemboja.

Penulis: Florey DM

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan: