Buletin
"Ola Bola" diangkat ke pentas teater pula


Tarikh disiarkan: 17 Mei 2017


Pementasan "Ola Bola" akan dipentaskan secara muzikal.

17 Mei – Selepas mencetuskan fenomena apabila ia ditayangkan dengan mendapat kutipan belasan juta ringgit, filem "Ola Bola" kini bakal diangkat ke teater pula.

Biarpun pernah terpalit dengan kontroversi apabila dikatakan telah mengubah fakta sejarah, namun pementasan teater yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada Februari tahun hadapan tidak akan mengubah sebarang jalan cerita langsung.

"Kami mendapat lesen daripada Astro untuk mementaskan teater ini dan seperti yang tertulis di dalam perjanjian, kita tidak boleh menukar jalan ceritanya.

"Tetapi ada caranya dan kita akan berusaha tanpa lari dari jalan cerita seperti mana di dalam filem, cuma strukturnya dalam bentuk muzikal," kata pengarahnya Tiara Jacquelina yang dipetik dari Malaysian Digest.

Dalam pada itu, biarpun sudah mempunyai pengalaman dalam bidang pementasan teater, namun Tiara tidak dapat menyembunyikan rasa gemuruhnya dan akui menggalas tanggungjawab yang besar.

Dia bagaimanapun enggan menjadikannya sebagai penghalang, sebaliknya mahu melihat cabaran itu dari sudut positif dan memikirkan bagaimana mahu membuatkan penonton merasai pengalaman seperti berada di dalam stadium.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai pemilihan filem "Ola Bola" sebagai naskhah debutnya sebagai pengarah teater, Tiara berkata dia tertarik dengan filem arahan Chiu Keng Guan itu kerana ia sarat dengan mesej nilai murni yang mampu memberi inspirasi kepada masyarakat.

Pementasan teater "Ola Bola" akan dipentaskan pada 22 Februari sehingga 22 Mac 2018, dan peminat boleh membeli tiket early bird pada harga istimewa iaitu RM120 bagi tiket yang berharga antara RM250 dan RM300.

Tiket-tiket dengan tawaran harga promosi ini akan mula dijual selama tiga bulan bermula 25 Mei ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide