Buletin
Pekin belajar menyanyi dan bersilat demi jayakan teater muzikal


Tarikh disiarkan: 13 November 2017


Pekin Ibrahim berusaha keras demi jayakan watak sebagai Laksamana Megat Sri Rama.

13 Nov – Pelakon Pekin Ibrahim memberitahu dia mempunyai masa yang singkat untuk belajar menyanyi, bergurindam, berpantun dan bersilat demi menjayakan watak utama dalam sebuah teater muzikal "Bangsawan Dendam Laksamana".

Walaupun mengakui sukar, namun Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim tidak berputus asa, sebaliknya dia bersemangat sepanjang tiga minggu latihan.

"Bukan mudah kerana dalam pementasan ini memerlukan kami untuk menyanyi, bersilat, berpantun dan bergurindam, jadi saya perlu memahami skrip dengan baik," ujarnya yang dipetik dari Bernama.


Tambah pelakon "Kampung Drift" ini lagi, teater bangsawan memerlukan dia dan pelakon lain memahami skrip dengan lebih mendalam kerana ia berbeza dengan gaya bahasa teater yang lebih moden.

Dalam teater tersebut pelakon berusia 36 tahun itu membawa watak sebagai Laksamana Megat Sri Rama.

Teater arahan Taufik Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pat Ibrahim turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Nadia Aqilah, Megat Sharizal, Anwar Rushdini dan Hamzah Tahir. Ia menceritakan kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang yang digarap daripada buku 'Masyhor Malaya' karya Shaharom Husain.

Pementasan teater muzikal ini berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula semalam dan akan dipentaskan selama tiga hari.

Dalam pada perkembangan lain, Pekin kini sedang menunggu tayangan filem kedua arahannya berjudul "KL Wangan" yang dijadualkan ditayangkan pada hujung tahun ini.

Selain itu, dia juga bakal muncul dengan filem terbaru lakonannya berjudul "Suatu Ketika" yang baru sahaja selesai penggambaran beberapa bulan lalu.

(Sumber foto: Pekin Ibrahim Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser