Buletin
Pekin Ibrahim masih utamakan kerjaya lakonan


Tarikh disiarkan: 23 Disember 2017


Pekin Ibrahim bakal muncul dengan dua buah filem baru tidak lama lagi.

23 Dis – Pelakon Pekin Ibrahim memberitahu dia masih lagi mengutamakan kerjaya lakonannya walaupun dia kini lebih dilihat sibuk dengan dunia pengarahan filem.

"Biarpun sekarang sedang berjinak-jinak dengan dunia pengarahan tetapi saya tetap berlakon. Dalam filem "KL Wangan" contohnya, saya menggalas dua tugas iaitu pelakon utama dan juga pengarah.

"Selain berlakon, bikin filem juga merupakan salah satu minat saya. Jadi ia bergantung kepada rezeki yang mana datang dahulu," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!


Bercerita lanjut mengenai filem terbaru arahannya itu, pelakon berusia 37 tahun itu berkata pembikinan filem "KL Wangan" mengambil masa yang lama termasuk kos yang tinggi iaitu lebih RM5 juta.

Faktor yang menyebabkan filem tersebut memakan masa yang lama dan kos yang tinggi adalah kerana dia menggunakan banyak jenis kereta, termasuk model luar dan tempatan selain pemilihan pelakon, suntingan, muzik dan kesan bunyi yang terbaik.

Selain itu, filem kedua arahannya ini turut mendapat kerjasama daripada kru produksi dan pelakon dari negara jiran, Indonesia, iaitu Donny Alamsyah yang berlakon dan turut mengarah babak aksi.

Dalam perkembangan lain, Pekin bakal muncul dengan beberapa buah filem terbaru seperti "7ujuh" dan "Suatu Ketika" tidak lama lagi, selain dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah filem indie bersama pelakon tersohor Namron.

(Sumber foto: Pekin Ibrahim Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser