Buletin
Pengarah "Makrifat Cinta" kagum dengan Syamsul Yusof


Tarikh disiarkan: 6 Jun 2017


Syamsul Yusof melihat semula 'playback' setelah menjayakan salah sebuah babak.

6 Jun – Pengarah filem "Makrifat Cinta", Kamal G memberitahu dia kagum dan terharu dengan dedikasi yang ditampilkan oleh pelakon Syamsul Yusof sepanjang penggambaran filem tersebut biarpun mengalami kecederaan ketika penggambaran.

Komitmen yang ditonjolkan oleh Syamsul sedikit sebanyak telah menaikkan semangat pelakon lain untuk turut memberikan yang terbaik.

"Kerjasama yang diberikan oleh keseluruhan pasukan sesuatu yang sukar dilupakan. Sikap dedikasi yang ditonjolkan Syamsul memberikan kekuatan kepada keseluruhan tenaga produksi. Risiko yang diambilnya untuk kembali ke set penggambaran dengan tangan berbalut selepas beberapa hari berehat sangat mengharukan.

"Babak seterusnya menghendaki dia beraksi sama, tetapi dalam keadaannya sebegitu, beliau masih mampu memberikan lakonan yang terbaik," katanya yang dipetik dari Malaysian Digest.

"Makrifat Cinta" akan menyaksikan nama-nama besar dalam dunia lakonan ditampilkan bersama, termasuk Nabila Huda, Nora Danish, Adi Putra, Puteri Balqis serta Datuk Aznil Haji Nawawi.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai filemnya, Kamal juga berkata filem ini akan turut menggunakan sebanyak 10 ke 20 peratus teknik janaan komputer (CGI) bagi menambah warna dan menggerakkan lagi jalan ceritanya.

Pada masa sama, filem terbitan Dhananwoodd Films Sdn Bhd ini juga akan menjadi filem Melayu pertama di Malaysia yang menggunakan lensa kamera Cooke Optics yang di sewa khas dari Mumbai, India.

Filem yang menelan belanja RM3.5 juta ini adalah sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah sebenar yang mana ia menceritakan mengenai Mahathir yang berusaha keras untuk memenuhi segala kemahuan isterinya dan anak perempuan mereka.

Dalam masa yang sama, dia berdepan dengan masalah yang dihadapi oleh abang iparnya yang juga penagih dadah tegar sehingga membuatkan rumah tangganya bermasalah. Dia yang tersepit antara masalah yang dihadapi, Mahathir cuba mencari jalan keluar daripada situasi yang menimpa dirinya sehinggalah dia bertemu dengan seorang wanita.

(Sumber foto: Malaysian Digest)

Penulis: Ashraf Nasser