Remy Ishak bersyukur dapat anugerah di ASK 2017 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Remy Ishak bersyukur dapat anugerah di ASK 2017

Penulis: Ashraf Nasser


Remy Ishak berterima kasih kepada pengarah kerana berjaya tampilkan sisi lakonan berbezanya.

6 Nov – Pelakon Remy Ishak bersyukur apabila dia telah berjaya merangkul anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) menerusi lakonannya dalam naskhah "Pesan Dari Tuhan" arahan pengarah terkenal Erma Fatima.

"Melihat pada pencalonan lain, iaitu Fauzi Nawawi, Rahim Omar, Namron dan Aqasha, saya sememangnya tak menjangkakan akan menang. Sampai sekarang tak percaya saya menang sebab mereka lebih senior daripada saya.

"Mungkin impak watak antagonis saya dalam "Pesan Dari Tuhan" menarik perhatian juri. Secara peribadinya, karakter saya dalam drama itu memang menguji kemampuan diri kerana saya seorang pelakon yang lebih selesa dengan watak romantis," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Pelakon "Redha" ini juga mengambil peluang untuk berterima kasih kepada pengarah kerana percaya dengan kemampuannya dengan menampilkan sisi lakonan berbeza, berikutan merasakan dirinya masih belum mempunyai pengalaman yang cukup untuk menjayakan watak seperti itu.

Dalam perkembangan lain, Remy memberitahu dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaru berjudul "Kekasih Paksa Rela" yang mana dia akan bergandingan dengan Intan Najwa dan Fizz Fairuz.

Selain itu dia juga bakal terbang ke Batam, Indonesia bagi menjalani penggambaran filem seram terbarunya.

Dia bagaimanapun belum dapat berkongsi judul dan butiran lanjut mengenai filem tersebut buat masa ini.

(Sumber foto: Remy Ishak Instagram)

Cinema Online, 06 Nov 2017

Filem Berkaitan:
Redha (KKIFF) (Malay) (22 Jul 2017)
Kau Takdirku (Malay) (07 Sep 2017)
Bravo 5 (Malay) (10 Sep 2015)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan