Buletin
Risteena buat laporan polis kerana tak dapat bayaran


Tarikh disiarkan: 19 April 2017


Selain laporan polis, Risteena juga mahu buat laporan kepada SENIMAN.

19 Apr – Pelakon Risteena Munim telah membuat laporan polis terhadap sebuah produksi tempatan berikutan tidak melunaskan bayaran selepas dia menjayakan sebuah drama 30 episod.

Selain Risteena, pelakon lain seperti Azrel Ismail, Bella Nazari dan Wan Nor Azlin turut berbuat perkara sama.

Menurut Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi sebelum ia dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor.

Pelakon "Anak Mami Nasi Kandaq" ini menjelaskan dia terpaksa mengambil tindakan membuat laporan polis kerana merasakan pihak produksi seperti tidak mahu melangsaikan baki 20 peratus bayaran mereka.

"Sebelum penggambaran, saya sudah menerima 30 peratus bayaran dijanjikan manakala 20 peratus lagi diberikan selepas selesai 15 episod.

"Selebihnya selepas tamat penggambaran. Sudah dua bulan kami menjalani penggambaran dan dalam tempoh itu, sepatutnya sudah 15 episod disiapkan. Tetapi nampaknya produksi seperti melengahkan penggambaran kerana tidak mahu melepaskan 20 peratus bayaran yang sepatutnya sudah diterima," katanya yang dipetik dari BH Online.

Tambah Risteena lagi, setiap kali dia ke set penggambaran pelbagai masalah timbul sehinggakan masa terbuang begitu sahaja.

Dalam pada itu, pelakon berusia 27 tahun turut mendakwa dia diugut saman RM700,000 sekiranya dia tidak pergi ke lokasi penggambaran sebuah telefilem sedangkan dari awal lagi dia sudah memaklumkan mengenai komitmennya dan dipersetujui oleh orang atasan produksi tersebut.

Sementara itu, selain laporan polis, Risteena dan barisan pelakon lain juga akan membuat laporan kepada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk tindakan selanjutnya.

(Sumber foto: Risteena Munim Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide