Buletin
Sangeeta teruja dapat peluang bawa watak 'sebenar'


Tarikh disiarkan: 21 Februari 2017


Sangeeta berharap selepas ini dia diberi lagi peluang untuk berlakon dalam filem Melayu.

21 Feb – Pelakon Sangeeta Krishnasamy teruja apabila diberi peluang untuk menggalas watak seorang guru sekolah bernama, Cheryl Ann Fernando, iaitu guru Bahasa Inggeris dalam filem Melayu pertamanya berjudul "Adiwiraku".

Menurut Sangeeta, dia pada mulanya tidak tahu langsung mengenai kisah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Tunggal ini, tetapi selepas bertemu dengan pengarah dan penerbit mengenai jalan cerita ini, dia terus menerima tawaran berlakon.

"Apabila saya membaca skrip, saya berasa sangat terharu dan tersentuh dengan jalan cerita ini jadi saya terus bersetuju untuk terbabit dengan filem ini."

"Saya juga merasakan diri saya sangat bertuah apabila mendapat peluang untuk bawa watak sebenar yang masih lagi hidup," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem "Adiwiraku" di mmCineplexes, eCurve semalam.

Sangeeta turut mendedahkan yang dia pada mulanya berasa sedikit bimbang apabila mendapat dia akan berlakon dengan pelajar sekolah yang sebenar dan bukan pelakon, yang mana dia takut dirinya tidak mampu membawa watak itu seperti guru sebenar mereka, tetapi semua itu meleset kerana dia dilayan seperti dalam sebuah keluarga.

Pelakon yang popular di kalangan penonton Tamil ini juga memberitahu dia cepat serasi dan hubungannya dengan pelajar menjadi semakin rapat selepas hari pertama penggambaran bermula.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai filem "Adiwiraku", Sangeeta tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya dengan keadaan pelajar-pelajar di sana yang mana kita sebelum ini tidak menjangkakan ia masih wujud.

"Saya sendiri tidak tahu di mana SMK Pinang Tunggal di Sungai Petani. Apabila saya mula mengenali pelajar dan tahu mengenai cerita mereka yang mana ada di kalangan mereka pelajar miskin, mempunyai banyak masalah dan malah ada yang terpaksa tanggung keluarga di usia muda, ia membuatkan 'mata terbuka' untuk saya."

Filem terbitan Sol Pictures Sdn Bhd ini bakal menemui penonton bermula 9 Mac ini.

Sementara itu, dalam perkembangan terbarunya, Sangeeta bakal muncul dengan filem Melayu keduanya yang berjudul "Jebat" tidak lama lagi.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Adiwira Ku (Melayu) (9 Mac 2017)





Ticket Pricing Guide