Syafiq mahu francaiskan filem "Abang Long Fadil" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Syafiq mahu francaiskan filem "Abang Long Fadil"

Penulis: Ashraf Nasser


Syafiq Yusof kini dalam perancangan untuk hasilkan filem ketiga ALF.

21 Sep – Pengarah filem Syafiq Yusof memberitahu dia mempunyai perancangan untuk menjadikan filem "Abang Long Fadil" (ALF) sebagai filem francais selepas filem sekuel "Abang Long Fadil 2" arahannya berjaya mengutip RM16 juta.

"Saya gembira dan berterima kasih tidak terhingga kepada penonton yang menyokong filem tersebut apabila ramai yang menyukai plot penceritaan yang disampaikan.

"InsyaAllah besar kemungkinan saya akan menghasilkan "Abang Long Fadil 3" bagi kesinambungan ALF2. Segalanya masih dalam perancangan. Sekiranya sambutan yang diterima juga memberangsangkan, saya merancang untuk menjadikan ALF2 sebagai naskhah francais sama seperti "Fast and Furious"," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Terdahulu, filem terbitan Skop Production dan Astro Shaw ini mula cemerlang sejak hari pertama ia ditayangkan pada 24 Ogos lalu dan kutipan terus melonjak naik dari semasa ke semasa.

ALF2 kini menjadi satu-satunya filem yang berjaya mendapat kutipan belasan juta untuk tahun ini.

Filem ini dibintangi oleh Zizan Razak, Tania Hudson, Achey, Shuib, Wak Doyok, Syamsul Yusof, A Galak dan ramai lagi.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Syafiq kini sedang menunggu sebuah lagi filem aksinya "KL Special Force" ditayangkan pada awal tahun depan.

Selain itu, dia juga bakal menerbitkan sebuah filem berjudul "Sekolah Ha Ha" menerusi syarikat produksi miliknya iaitu Viper Studios Sdn Bhd.

Cinema Online, 21 Sept 2017

Filem Berkaitan:
Abang Long Fadil 2 (Malay) (24 Aug 2017)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan