Buletin
Syafiq Yusof bersyukur "Desolasi" diiktiraf


Tarikh disiarkan: 9 November 2017


Kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk Syafiq Yusof terus menghasilkan karya berkualiti.

9 Nov - Pengarah filem muda, Syafiq Yusof bersyukur apabila dia berjaya merangkul trofi anugerah Pengarah Filem Terbaik menerusi filem "Desolasi" pada Anugerah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) 2017 yang barlangsung baru-baru ini.

Kejayaan Syfiq merangkul trofi itu telah menewaskan pengarah hebat lain seperti Chiu Keng Guan ("Ola Bola") dan Ghaz Abu Bakar ("Polis Evo").

"Alhamdulillah, saya memang tidak menyangka dapat menggenggam anugerah pengarah filem terbaik kerana masih baru dalam bidang ini. Ini adalah pertama kali saya menang dalam Anugerah PROFIMA.

"Bertanding dengan nama-nama hebat seperti Keng Guan dan Ghaz adalah satu penghormatan buat saya. Mereka juga inspirasi dan motivasi untuk saya," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Susulan kejayaan itu, Syafiq berkata ia akan dijadikan sebagai pembakar semangat buatnya untuk terus menghasilkan karya-karya lebih berkualiti pada masa hadapan.

Terdahulu, filem terbaru arahannya "Abang Long Fadil 2" telah mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mendapat kutipan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM18.1 juta.

Berikutan itu, dia bakal kembali masuk ke set penggambaran untuk menghasilkan trilogi "Abang Long Fadil 3" pada tahun hadapan dengan bajet yang lebih besar dan menjanjikan lebih hebat.

Dalam perkembangan lain, Syafiq bakal muncul dengan filem aksi polis berjudul "KL Special Force" yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

(Sumber foto: Syafiq Yusof Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser