Buletin
Syamsul Yusof nafi arah filem "Makrifat Cinta"


Tarikh disiarkan: 15 Disember 2017


Syamsul Yusof akui kerjanya terganggu selepas timang cahaya mata.

15 Dis – Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof tampil menjelaskan filem terbaru lakonannya "Makrifat Cinta" sebenarnya karya arahan Kamal G.

Syamsul berkata demikian selepas ramai menganggap filem terbaru itu adalah arahannya berikutan dia membintangi sebagai peneraju.

"Filem itu bukan terbitan dan arahan daripada saya. Mungkin ramai yang ingat filem itu saya punya sebab saya pelakon utama.

"Tapi saya ada beri nasihat dan berkongsi sedikit idea dengan pengarah filem itu, Kamal G," ujarnya yang dipetik mStar.

Dalam filem terbitan Dhananwoodd Films Sdn Bhd, Syamsul akan bergandingan pelakon hebat lain seperti Nora Danish, Nabila Huda, Adi Putra, Datuk Aznil Nawawi, Sabrina Ali dan Puteri Balqis.


"Makrifat Cinta" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 1 Februari 2018.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai kehidupannya kini selepas bergelar bapa, pelakon "KL Gangster" ini mengakui waktu kerjanya agak terganggu berikutan sering memikirkan anaknya, Syaikhul Islam.

Menurut pelakon berusia 33 tahun itu, walaupun kadang-kala dia berasa penat selepas balik dari kerja namun segala kepenatannya hilang apabila bertemu dengan anaknya.

Ini membuatkan dia sering mahu pulang ke rumah dengan segera selepas habis kerja.

Sementara itu, Syamsul kini sedang menunggu sebuah lagi filem lakonannya berjudul "KL Special Force" arahan adiknya sendiri iaitu Syafiq Yusof yang akan ditayangkan pada awal 2018.

(Sumber foto: Syamsul Yusof Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Makrifat Cinta (Melayu) (1 Februari 2018)
KL Gangster (Melayu) (9 Jun 2011)
Desolasi (Melayu) (8 Disember 2016)