Buletin
"Terbalik" bakal diterbitkan di 34 negara


Tarikh disiarkan: 21 Ogos 2017


Yasu Tanaka, Bea bersama Timbalan Pengarah FINAS, Dato' Azmeer.

21 Ogos – Filem tempatan "Terbalik" telah mencipta sejarah dalam industri filem tempatan apabila menjadi filem tempatan pertama yang menandatangani dengan syarikat kewangan pembiayaan dan pengeluaran, Ivanhoe Pictures untuk memperolehi hak pembuatan semula filem itu untuk 34 negara di seluruh dunia.

Pengarahnya Yasu Tanaka berkata perjanjian ini dapat melonjakkan filem tempatan ke persada antarabangsa sekaligus membuktikan filem tempatan juga mampu menarik perhatian penerbit luar negara.

"Ketika kami berada di Forum Pembiayaan Hong Kong Asia, pihak Ivanhoe Pictures telah membaca skrip filem ini dan menyuarakan hasrat untuk mendapatkan hak pembikinan semula filem ini yang mana ia akan dihasilkan di 34 buah negara," ujarnya ketika sidang media "Terbalik" di FINAS, Hulu Kelang baru-baru ini.


Yasu Tanaka ketika membuat pembentangan mengenai filem terbarunya.

Menurut Yasu, antara negara yang bakal membuat pembikinan filem "Terbalik" atau judul dalam bahasa Inggerisnya "Upside Down" ini adalah Amerika Utara, Perancis, United Kingdom, China, Korea Selatan, Sepanyol, Amerika Latin, India dan Vietnam.

Sementara itu, penerbit 42nd Pictures Sdn Bhd yang juga isteri kepada pengarah Bea Tanaka berkata pihaknya teruja apabila naskhah "Terbalik" ini mendapat perhatian pihak luar biarpun filem itu masih lagi belum dibuat.

Dalam pada itu, ditanya mengenai butiran perjanjian pembikinan semula filem itu, Bea memberitahu bahawa pihaknya akan mendapat sejumlah peratus dari jumlah kos setiap filem yang dibikin semula dan juga sejumlah peratus untuk kutipan box office di seluruh dunia.

"Terbalik" akan menampilkan pelakon hebat tempatan Bront Palarae sebagai peneraju utama.

Ia berkisarkan tentang seorang pelakon terkenal bernama Brian, yang terlibat dalam kemalangan di kawasan pergunungan ketika hendak pergi ke lokasi penggambaran. Keretanya terbalik selepas jatuh ke gaung di mana dia terperangkap dalam kereta dan tidak boleh keluar berikutan kakinya tersepit.

Kemudian, seorang remaja yang lalu ke situ menjumpai pelakon itu di mana dia meminta bantuan tetapi tidak mendapat respon dan remaja itu meninggalkan Brian sebelum keesokan harinya datang bersama abang dan rakannya. Mereka kemudian mula menyeksa Brian.

Filem ini bakal memulakan penggambaran dalam tahun ini juga.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
Nota (Melayu) (13 Ogos 2015)