Buletin
Tiz Zaqyah tiada masalah berlakon dengan Remy Ishak


Tarikh disiarkan: 22 Ogos 2017


Tiz tiada masalah untuk cari keserasian dengan Remy sebagai pasangan suami isteri.

22 Ogos – Pelakon Tiz Zaqyah memberitahu dia tidak mempunyai masalah untuk berlakon dengan bekas kekasihnya yang juga pelakon Remy Ishak dalam drama terbaru bersempena sambutan Hari Kebangsaan berjudul "Anak Merdeka".

"Kami sudah membuang jauh perkara lama dan bersikap profesional ketika di lokasi penggambaran. Mungkin bagi sesetengah pelakon, sukar untuk kembali mendampingi bekas kekasih tetapi tidak bagi saya.

"Selama tiga bulan menjalani penggambaran, kami menjalankan tanggungjawab sebagai rakan sekerja dengan baik. Kematangan mengajar saya supaya tidak bermusuh dengan sesiapa dan tidak mengungkit perkara lalu," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Dalam pada itu, Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdu Razak berkata naskhah "Anak Merdeka" merupakan sebuah naskhah yang berkualiti dan dia tidak dapat menolaknya apabila mendapat tawaran tersebut.

Malah pelakon berusia 28 tahun itu menganggap ia sebagai satu penghormatan untuknya menjayakan naskhah berlatarkan kisah patriotik.

Dalam drama bersiri terbitan Angsana Production ini, akan menyaksikan pelakon "Nur Kasih The Movie" kembali bekerjasama dengan pengarah terkenal tanah air Kabir Bhatia.

Menerusi "Anak Merdeka", Tiz dan Remy akan membawa watak sebagai pasangan suami isteri dan Tiz akui tidak berdepan kesukaran mencari keserasian dengan gandingannya berikutan sudah memahami cara kerja aktor itu.

Selain Tiz dan Remy, drama bersiri itu turut dibintangi pelakon lain seperti Thanuja Ananthan dan Elvis Chan.

(Sumber foto: Tiz Zaqyah Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide