Buletin
"Tombiruo" bakal jadi penanda aras baru filem tempatan


Tarikh disiarkan: 27 September 2017


Barisan pelakon "Tombiruo: Penunggu Rimba" bergambar selepas tayangan selesai.

27 Sep – Filem yang paling ditunggu-tunggu pada tahun ini iaitu "Tombiruo: Penunggu Rimba" bakal menemui penonton pada bulan Oktober dan dijangka bakal menjadi penanda aras kepada filem tempatan kerana pelaksanaan filem ini cukup baik.

Tidak salah sekiranya hendak dikatakan filem yang diadaptasi dari novel popular dengan judul sama nukilan Ramlee Awang Murshid ini setaraf dengan filem antarabangsa berikutan ia mendapat sentuhan daripada pengarah yang mahir dalam bidang kesan visual dan aksi iaitu Seth Larney.

Seth seorang yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia perfileman di Hollywood di mana dia pernah terlibat dengan pembikinan filem seperti "The Matrix Reloaded", "Star Wars: Revenge of the Sith", "X-Men Origins: Wolverine" dan banyak lagi.

"Kami berharap karya yang berkualiti setaraf dengan produksi antarabangsa ini dapat diterima oleh penonton kerana novel "Tombiruo" itu sendiri merupakan sebuah karya hebat serta membawa pemikiran besar dan subteks yang melampaui ceritanya.

"Malah saya bersama semua pihak yang terlibat dalam filem ini juga telah memberikan komitmen sepenuhnya dalam usaha untuk menjayakan serta membawa karya ini ke tahap yang lebih tinggi," ujar Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar yang ditemui ketika Tayangan Perdana "Tombiruo: Penunggu Rimba" di MBO Cinemas Starling Mall, semalam.

Filem ini berkisarkan tentang Ejim yang digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Dia sentiasa memakai topeng kerana memiliki wajah bukan manusia. Apabila satu insiden yang tragis berlaku padanya, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam. Pada masa sama Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca kepada keperitan hidupnya dan mula menjejaknya.

Filem terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan ini menelan belanja lebih RM6 juta dan dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.

"Tombiruo: Penunggu Rimba" bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 12 Oktober ini, selain akan turut ditayangkan di negara jiran seperti Brunei dan Singapura.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan: