Buletin
"Tombiruo" bakal tembusi pasaran antarabangsa


Tarikh disiarkan: 2 November 2017


Kejayaan filem "Tombiruo" bakal harumkan nama negara di persada antarabangsa.

2 Nov – Selepas filem "Tombiruo: Penunggu Rimba" berjaya mendapat sambutan hangat daripada penonton, filem terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan ini bakal mencipta sejarahnya tersendiri apabila filem itu bakal menembusi pasaran antarabangsa.


Perkara itu bakal direalisasikan apabila pihak penerbit filem ini telah bekerjasama dengan AMP International yang akan memasarkan filem ini ke peringkat antarabangsa secara 'world wide'.

"Pihak penerbit serta pengarah filem "Tombiruo" iaitu Seth Larney telah berjaya menghasilkan sebuah filem berbentuk 'Asian Superhero'. Kami tidak sabar untuk memasarkan filem ini ke pasaran antarabangsa dan sekaligus membentuk kelompok peminatnya tersendiri," ujar Pengarah Jualan Global dan Pengambilalihan AMP International, James Norrie dalam satu kenyataan.

Filem yang diadaptasi dari karya novelis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid ini telah berjaya mengutip RM7 juta dalam tempoh 18 hari tayangannya di 117 pawagam.

Dalam pada itu, pihak penerbit filem masih lagi aktif dalam mempromosikan filem ini tambahan lagi apabila kini perlu bersaing dengan filem blockbuster dari luar negara, namun bersyukur filem ini masih mendapat sokongan dari penonton tempatan.

"Tombiruo: Penunggu Rimba" berkisarkan tentang Ejim yang digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Dia sentiasa bertopeng dan disisihkan penduduk kampung kerana memiliki wajah bukan manusia. Apabila satu insiden tragis berlaku padanya, ia telah mencetuskan kemarahannya dan dendam.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Hasnul Rahmat, Faizal Hussein, Dynas Mokhtar, Dato' M.Nasir, Faye Kusairi dan ramai lagi.

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.