Buletin
Umie Aida akui bersikap selektif pilih naskhah


Tarikh disiarkan: 19 April 2017


Umie Aida rindu berlakon watak berat.

19 Apr – Pelakon tersohor tanah air Datin Umie Aida menyangkal dakwaan kononnya dia hanya memilih untuk berlakon di bawah rumah produksi kakaknya sahaja, iaitu Erma Fatima sehinggakan banyak penerbit yang takut untuk melamarkan untuk membintangi projek mereka.

Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad, mengakui sudah lama tidak berlakon selain drama "Mak Cun" dalam mana-mana filem ataupun drama, berikutan belum terima skrip yang dimahukannya.

"Rasanya sudah hampir dua tahun saya tidak muncul dalam mana-mana drama bersiri atau telefilem sejak terlibat dengan "Mak Cun". Bukan kerana Erma tidak benarkan saya ambil tawaran lain, cuma saya sendiri belum menemui naskhah yang berkenan di hati," katanya yang dipetik dari Kosmo!

Pelakon berusia 44 tahun itu juga berkata dia sangat selesa bekerja dengan kakaknya kerana masing-masing sudah tahu kemampuan sendiri dan ia memudahkan mereka untuk menjayakan drama "Mak Cun".

Umie bagaimanapun memberitahu ia tidak bermakna dia mahu bekerja dengan Erma sahaja, sebaliknya dia perlu bersikap selektif terutama dari segi pemilihan skrip kerana tidak mahu berlakon sekadar untuk muncul di layar perak atau televisyen tetapi orang tidak ingat pun apa watak yang dilakonkan.

Dalam pada itu, pelakon "Jwanita" ini berharap sekiranya ada penerbit di luar sana yang mempunyai sebuah naskhah yang bagus atau watak berat yang mampu menguji kemampuan lakonannya, jangan takut untuk berikan tawaran itu kepadanya.

Tambah Umie lagi, dia rindu untuk menggalas watak-watak berat kerana ia memerlukan penghayatan yang mendalam, kerana itulah ia membuatkan teknik lakonan semakin baik.

(Sumber foto: Umie Aida Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Jwanita (Melayu) (24 September 2015)
Sembunyi: Amukan Azazil (Melayu) (28 Mac 2013)
PISAU CUKUR (Melayu) (5 November 2009)