Buletin
Zizan Razak janji "Polis Evo 2" lebih hebat


Tarikh disiarkan: 29 November 2017


Zizan Razak beri tumpuan penuh terhadap "Polis Evo 2" walaupun berdepan kecederaan.

29 Nov – Pelakon popular Zizan Razak memberitahu filem sekuel "Polis Evo 2" lakonannya menjanjikan aksi yang lebih hebat daripada filem pertamanya.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata demikian selepas mengalami kecederaan ketika penggambaran filem tersebut berlangsung gara-gara komitmen tinggi yang diberikannya.

"Terus-terang, saya memang kuat bekerja dan sangat fokus pada penggambaran filem ini. Namun, selepas pitam di lokasi, doktor dan pihak produksi membenarkan saya berehat sehari sebelum kembali ke lokasi untuk menyambung penggambaran filem itu.


"Penggambaran bermula sejak sebulan lalu membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan. Ia dijangka akan selesai pada Januari tahun hadapan," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Menurut Zizan, filem sekuel ini menampilkan jalan cerita yang lebih mencabar termasuklah lebih banyak babak aksi dan pertarungan.

Tambahnya, pihak produksi juga sanggup menyewa kawasan kampung di tepi pantai dan membina perumahan khusus untuk penggambaran sahaja.

Dengan komitmen tinggi oleh pihak produksi dan para pelakon, Zizan berasa yakin "Polis Evo 2" mampu sekali lagi menambat hati penonton.

"Polis Evo 2" akan menyaksikan Zizan dan Shaheizy Sam akan kembali menghidupkan watak asal mereka iaitu sebagai Inspektor Polis, selain turut menampilkan pelakon lain seperti Erra Fazira, Hairul Azreen dan pelakon Indonesia, Raline Shah.

Terdahulu, filem "Polis Evo" yang ditayangkan pada tahun 2015 telah mencetuskan fenomena apabila berjaya mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM17.47 juta.

(Sumber foto: Zizan Razak Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Polis Evo (Melayu) (17 September 2015)
Abang Long Fadil 2 (Melayu) (24 Ogos 2017)
KL Gangster 2 (Melayu) (3 Oktober 2013)