Zul Ariffin: Saya bukan pelakon jual muka! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Zul Ariffin: Saya bukan pelakon jual muka!

Penulis: Ashraf Nasser


Zul Ariffin dengan bangga mengakui yang dia bukan pelakon yang jual muka.

6 Sep – Dengan watak kelainannya dalam filem terbaru "Tombiruo: Penunggu Rimba", Zul Ariffin kini dengan bangga boleh mengaku yang dia bukanlah seorang pelakon yang "jual muka".

Pelakon tersebut menjelaskan bahawa wataknya dalam filem tersebut amat berbeza dengan filem-filem lain sebelum ini.

Salah satu perbezaan yang paling ketara ialah Zul tidak dapat berkomunikasi menggunakan ekspresi mukanya kerana wataknya memakai topeng sepanjang filem tersebut.

Oleh itu, Zul terpaksalah menyampaikan mesej melalui bahasa badan dan juga gerakan mata kerana wataknya juga kurang dialog.

"Watak yang saya mainkan ini agak susah. Bukan saja saya tak biasa berlakon dengan topeng, tapi watak saya juga tak berbaju, dan saya juga perlu pakai rambut palsu. Jadi pada mulanya ia agak kekok, tapi saya perlu biasakan diri," ujar pelakon tersebut.

"Tapi sekurang-kurangnya saya boleh beritahu orang yang saya bukan pelakon jual muka!"

Disebabkan dari mula sampai akhir Zul tidak berbaju, dia tidak mempunyai perlindungan ketika beraksi dan lebih mudah tercedera.

"Hari kedua saya dah tercedera, saya terpaksa rehat dua minggu dan buat fisioterapi, tapi selepas pulih, saya melakukan hampir 90 peratus aksi dalam filem ini," kata Zul.

"Tombiruo: Penunggu Rimba" adalah adaptasi dari novel terkenal nukilan Ramlee Awang Murshid, dibarisi pelakon ternama Malaysia seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Dynas Mokhtar, Datuk M. Nasir, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Filem ini menceritakan seorang lelaki bernama Ejim yang digelarkan sebagai Tombiruo dan dianggap penduduk kampung sebagai penunggu rimba. Kerana ia memiliki wajah bukan manusia, Ejim disisihkan oleh penduduk dan sentiasa memakai topeng.

Apabila bapanya terbunuh dalam satu insiden ketika sebuah projek empangan bakal dibangunkan, Tombiruo bersumpah mahu membalas dendam terhadap mereka yang bertanggungjawab.

"Tombiruo: Penunggu Rimba" akan tiba di layar perak pada 12 Oktober 2017.

Cinema Online, 06 Sept 2017

Filem Berkaitan:
Tombiruo: Penunggu Rimba (Malay) (12 Oct 2017)



Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.
Waktu Tayangan