Buletin
"Abang Long Fadil 3" mula penggambaran lepas Aidilfitri


Tarikh disiarkan: 10 Mac 2018


Tahun 2018 adalah tahun sibuk buat pengarah muda ini.

10 Mac – Selepas filem "Abang Long Fadil 2" berjaya mencapai kejayaan besar dengan mengutip lebih RM18 juta pada tahun lalu, kini pengarah muda berbakat besar Syafiq Yusof bakal muncul dengan filem ketiga pula.

Menurut Syafiq, kejayaan filem kedua itu telah membuatkan dia lebih bersemangat untuk menghasilkan filem "Abang Long Fadil 3" yang lebih mantap.

"Untuk filem ketiga ini kami ketika ini sudah pun mempunyai skrip dan penggambaran dijangka akan bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti," ujarnya yang ditemui pada tayangan perdana "KL Special Force" arahannya baru-baru ini.


Tambah anak kepada pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam ini lagi, untuk filem ketiga ini watak utama iaitu Fadil lakonan Zizan Razak akan dikekalkan, namun jalan ceritanya akan berbeza.

"Sama seperti filem kedua yang mana jalan ceritanya diolah dan bukannya kesinambungan daripada filem pertama. Untuk filem ketiga jalan cerita yang bakal ditampilkan akan berbeza dan apa yang pasti lebih mantap."

Bercerita lanjut mengenai filem terbarunya "KL Special Force" yang mula ditayangkan pada 8 Mac, Syafiq ternyata berpuas hati dengan hasil akhir filem tersebut.

Malah dia turut memuji barisan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Fattah Amin dan semua yang terlibat.

Menerusi filem ini juga dia berjaya mengubah persepsi netizen terhadap lakonan Fattah Amin yang sebelum ini melabelkan sebagai pelakon 'kayu'.

Sementara itu, Syafiq memberitahu tahun 2018 adalah tahun yang amat sibuk baginya kerana dia bukan sahaja terlibat dengan penggambaran "Abang Long Fadil 3" sahaja tetapi turut terbabit dengan dua buah filem lagi.

Antaranya adalah sebuah filem berjudul "Sekolah Haha" arahan Mat Lutfi yang mana dia bertindak sebagai penerbit dan akan mengarah sebuah filem psiko seram yang masih belum mempunyai judul.

(Sumber foto: Star2)

Penulis: Ashraf Nasser

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan: