Buletin
Abby Abadi kembali beraksi di hadapan kamera


Tarikh disiarkan: 31 Disember 2018


Ramai yang tak sabar untuk melihat Abby kembali menghidupkan wataknya sebagai ASP Aleza.

31 Dis – Pelakon Abby Abadi telah mengesahkan yang dia bakal kembali beraksi di hadapan kamera pada tahun hadapan untuk menjayakan naskhah drama kepolisan popular "Gerak Khas".

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan berkata dia kembali berlakon setelah lebih lapan tahun menyepikan diri selepas mendapat tawaran daripada penerbit Datuk Yusof Haslam pada bulan lalu.


Abby merupakan salah seorang pelakon asal drama kepolisan yang mula disiarkan pada tahun 1999 yang mana turut menyaksikan dia membintangi tiga buah filem "Gerak Khas The Movie".

Rata-rata rakan artis turut gembira dengan berita tersebut dan mengucapkan selamat kembali ke dunia lakonan kepada pelakon berusia 41 tahun itu.


Abby Abadi memuat naik foto sedang diukur oleh penjahit baju untuk membuat baju
uniform polis yang bakal dipakainya untuk drama "Gerak Khas".

Di sebalik kegembiraan peminat terhadap kembalinya Abby beraksi di hadapan kamera, terdapat segelintir netizen yang mempertikaikan tindakannya itu dengan menyindir sama ada berlakon itu halal atau pun tidak.

"Apa yang saya tentukan? Bila saya kata tak boleh berlakon langsung tu? Cuba buktikan. Yang pernah saya kata, salah berlakon atau apa sahaja kerja bila tak bawa Islam bersama.

"Arak yang awak bagi contoh itu dah tentu-tentu jelas dalam haramnya. Kalau rasa beriman sangat, berilmu sangat, jangan main Instagram ini. Banyak jer gambar, video perempuan dalam ni. Duduk je seorang diri dalam hutan tu," ujarnya membalas kritikan pihak yang mempertikaikan keputusan untuk kembali berlakon yang dipetik dari mStar.

Kali terakhir Abby beraksi di hadapan kamera menerusi drama "Gerak Khas" yang mana dia membawa watak sebagai ASP Aleza.

(Sumber foto: Abby Abadi Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser