Buletin
Adrian Teh mahu papar pengorbanan besar pasukan elit Paskal


Tarikh disiarkan: 1 September 2018


Adrian Teh bersama Panglima dan Laksamana TLDM dan barisan pelakon utama "Paskal The Movie".

1 Sep – Baru-baru ini, pengarah filem Adrian Teh telah memberitahu apa yang membuatkan dirinya bersemangat untuk menghasilkan sebuah filem ketenteraan mengenai pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Paskal (Pasukan Khas Laut).

Tujuannya adalah untuk memperkenalkan pasukan elit ini kepada rakyat Malaysia, yang mana masih ramai tidak tahu mengenai pasukan ini.

Menurut Adrian, dia sendiri mengakui pada mulanya tidak pernah tahu akan kewujudan pasukan tersebut sehingga mendapat informasi mengenai mereka dan kemudian membuat carian di Internet.

"Saya tidak pernah dengar mengenai pasukan Paskal ini dan apabila saya dapat tahu, saya terus buat kajian dengan membuat carian di Internet mengenai pasukan elit ini dan apa kemampuan mereka. Saya amat kagum dengan pencapaian termasuk misi-misi yang berjaya dilaksanakan.


"Jika sebelum ini kita mengenali pasukan elit laut Amerika Syarikat iaitu SEAL, kini saya mahu seluruh rakyat Malaysia belajar tentang pasukan elit laut kita sendiri iaitu Paskal," ujarnya pada sidang media filem "Paskal The Movie" yang berlangsung di GSC Signature, The Gardens baru-baru ini.


Barisan pelakon utama "Paskal The Movie".

Tambahnya, jalan cerita untuk filem itu akan mengambil inspirasi dari dua misi sebenar iaitu Univem II di Angola pada tahun 1998 dan insiden Kapal Bunga Laurel pada tahun 2011.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pemilihan barisan pelakon untuk membintangi filem ketenteraan ini, Adrian berkata setiap pelakon yang dipilih oleh pihak produksi telah mendapat persetujuan daripada pihak TLDM terlebih dahulu.

Malah Panglima TLDM turut meminta setiap pelakon yang membawa watak sebagai anggota Paskal menjalani latihan asas pasukan itu supaya mereka dapat merasai keadaan sebenar sebagai seorang anggota Paskal.

Filem yang menelan belanja sekitar RM12 juta ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

"Paskal The Movie" bakal menemui penonton di seluruh negara pada 27 September ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Paskal The Movie (Melayu) (27 September 2018)