Bront bakal muncul dengan filem sekuel "Pengabdi Setan 2" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Bront bakal muncul dengan filem sekuel "Pengabdi Setan 2"

Penulis: Ashraf Nasser


Bront Palarae tidak akan berpindah ke Indonesia untuk lebar kerjaya seninya.

19 Jan – Selepas filem seram "Pengabdi Setan" telah berjaya mendominasi di panggung Indonesia dan juga di Malaysia, filem sekuelnya kini dalam perancangan untuk dihasilkan.

Perkara itu didedahkan oleh salah seorang pelakonnya iaitu Bront Palarae yang memberitahu dia akan terlibat dengan filem sekuel arahan Joko Anwar itu.

Bront bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut kerana ia masih lagi diperingkat awal dan ia akan diumumkan kelak.

Sejak tayangan filem "Pengabdi Setan", nama pelakon kelahiran Kedah ini semakin menjadi tumpuan penerbit dan pengarah di Indonesia, malah dia kini juga mempunyai ramai peminat di negara seberang.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perbezaan di antara industri filem tempatan dan di negara seberang, dia berkata ia dalam cara pemain industri itu sendiri menghargai setiap kerja yang dihasilkan.

"Kita lihat "Ayat-Ayat Cinta", ia merupakan filem pertama yang membicarakan tentang agama. Sepuluh tahun lalu, tiada filem di pawagam Indonesia ketika itu yang berani membincangkan sesuatu di luar kotak.

"Tiada filem yang menyentuh isu poligami, tiada filem yang membincangkan soal agama. Sebab itu, filem tersebut berjaya menjadi antara filem terbaik Indonesia," ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.

Berikutan itu, Bront berharap penerbit filem dan pengarah tempatan memberanikan diri untuk cuba menghasilkan sebuah karya yang tidak pernah dibuat lagi supaya tidak terus menghasilkan karya yang sama sehingga membosankan penonton.

Bront pada masa sama juga menasihati pembikin filem supaya tidak mudah melabelkan penonton kita sebagai malas berfikir atau tidak mahu tonton filem berat, kerana penonton tempatan sudah lama dapat menerima sebuah karya yang mempunyai jalan cerita yang berat iaitu seperti filem arahan Tan Sri P. Ramlee berjudul "Ibu Mertuaku".

Malah ia juga dibuktikan lagi apabila filem seperti "Ola Bola" yang turut menampilkan jalan cerita yang berat mampu mencipta kejayaan besar.

Sementara itu, menyentuh mengenai kerjayanya pula, Bront menjelaskan dia tidak akan meninggalkan Malaysia untuk meneruskan kerjaya seninya, sebaliknya dia mahu fokus pada kedua-dua negara yang memberikan tawaran yang baik untuknya.

(Sumber foto: Bront Palarae Instagram)

Cinema Online, 19 Jan 2018

Filem Berkaitan:
Pengabdi Setan (Indonesian) (23 Nov 2017)
Ombak Rindu (Malay) (01 Dec 2011)
Jwanita (Malay) (24 Sep 2015)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan