Buletin
Bront Palarae tak kecewa dengan sambutan "One Two Jaga"


Tarikh disiarkan: 24 September 2018


Respon positif daripada penonton buat Bront Palarae semakin bersemangat untuk terus berkarya.

24 Sep – Penerbit, pengarah dan pelakon Bront Palarae memberitahu dia tetap bersyukur apabila filem terbaru terbitannya berjudul "One Two Jaga" hanya berjaya mengutip lebih RM500,000 selepas berdepan dengan pelbagai cabaran dan kontroversi.

"Saya bersyukur dengan sambutan penonton tempatan terhadap filem ini. Pihak pawagam terutama TGV Cinemas menyokong filem ini dengan meneruskan tayangan selama seminggu lagi.

"Cuma tayangannya terhad kepada satu atau dua kali sehari," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Menurut Bront, respon positif daripada penonton membuatkannya lebih bersemangat untuk terus berkarya.

Walaupun tidak mendapat kutipan besar seperti filem komersial lain, namun filem arahan Namron ini cemerlang di peringkat antarabangsa apabila sudah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa.

Terbaru, filem "One Two Jaga" tercalon dalam kategori Filem Terbaik di Festival Filem Five Flavours Asian yang akan berlangsung di Warsaw Poland pada 14 hingga 21 November depan.


Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat tanah air dan Indonesia seperti Zahiril Adzim, Iedil Putra, Amerul Affendi, Azman Hassan, Rosdeen Suboh, Asmara Abigail, Ario Bayu, Chew Kin Wah dan ramai lagi.

Sementara itu, Bront berkata dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Original VIU "The Bridge".

Selain itu, pihaknya juga sudah menyenaraikan beberapa projek dan aktiviti seni terbaru yang bakal dilaksanakan tahun depan.

(Sumber foto: Bront Palarae Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
One Two Jaga (Melayu) (6 September 2018)
Ombak Rindu (Melayu) (1 Disember 2011)





Ticket Pricing Guide