Buletin
Chacha Maembong tak letak harapan menang di DFKL


Tarikh disiarkan: 13 April 2018


Chacha Maembong mahu fokus pada kerjaya sebelum fikir soal kahwin.

13 Apr – Pelakon Chacha Maembong tidak meletak harapan tinggi untuk merangkul sebarang anugerah selepas dirinya tercalon dalam pencalonan awal bagi kategori Aktres Pilihan di Drama Festival Kuala Lumpur (DKFL).

Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail berkata demikian kerana mengakui senarai awal untuk kategori ini turut menampilkan nama hebat seperti Janna Nick, Nina Iskandar dan ramai lagi.

"Saya tidak berani meramalkan peluang memandangkan nama yang bertanding dalam kategori ini mempunyai kredibiliti tersendiri. Berada dalam senarai utama sudah memadai.

"Soal menang, saya tidak pernah terfikir mengenainya. Saya bagaimanapun, berterima kasih kerana penganjur melihat dan mempercayai kelebihan yang ada pada diri," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

DFKL akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 13 Mei depan.

Dalam pada itu, pelakon "Aku Bukan Terrorist" ini memberitahu dia masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga biarpun kini sedang hangat bercinta dengan seorang jejaka.

Ini kerana dia mahu kakak dan abangnya berkahwin terlebih dahulu sebelum dirinya, kerana usianya masih muda dan mahu fokus pada kerjaya seninya.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya pelakon berusia 22 tahun ini bakal muncul dengan filem berjudul "Garang" terbitan produksi dari India, Sakti Film.

(Sumber foto: Chacha Maembong Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser