Buletin
"Dimensi Cinta" akhirnya bakal ditayangkan selepas 10 tahun!


Tarikh disiarkan: 18 April 2018


Dr. MK Pak bersama penggiat seni tanah air ketika pelancaran syarikat terbarunya.

18 Apr – Selepas 10 tahun terperap masalah, filem romantik "Dimensi Cinta" akhirnya bakal ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

Pengarahnya Dr. MK Pak DHum (h.c) @Aliff Najmi mengakui pembikinan filem itu berdepan pelbagai masalah termasuk dari segi kewangan.

"Sepanjang saya berehat, "Dimensi Cinta" sentiasa berlegar dalam pemikiran saya. Saya menunggu masa yang tepat untuk kembali memenuhi komitmen saya untuk melihat filem itu dikeluarkan dan dengan rasa besar hati, saya ingin menyatakan bahawa masanya adalah sekarang.

"Dengan diterajui Winner Dynasty Films & Entertainment Sdn Bhd, kami telah memulakan perancangan dan berusaha mengeluarkan dan mengedarkan "Dimensi Cinta".

"Saya juga berasa bangga untuk mengumumkan bahawa kami akan berkongsi kutipan daripada tayangan filem ini dengan semua pelakon dan kru yang terlibat," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran Winner Dynasty Films & Entertainment Sdn Bhd.


Datuk Yusof Haslam menyampaikan kontrak kepada pemenang yang mendapat peluang untuk mengarah filem sendiri.

Terdahulu, filem arahannya merupakan yang pertama di Malaysia ketika itu yang menggunakan teknologi kamera merah yang canggih, namun ia berdepan kesukaran apabila pihak produksi berdepan dengan pelbagai masalah seperti kewangan serta kontroversi pelakon 'cabut lari' sehingga pengarah terpaksa mencari pelakon pengganti.

Filem yang dibintangi oleh Fahrin Ahmad, Catriona Ross, Awie, Eman Manan, Memey Suhaiza, Adam, Zarina Zainordin, Scha Al-Yahya dan ramai lagi ini diangkat dari kisah sebenar yang berlaku kepada seorang ibu tunggal bersama dengan anak-anaknya.

Ceritanya mengenai eorang wanita yang hidup tertekan dan didera oleh suaminya sehingga membawa kepada perceraian, namun mimpi ngerinya masih berterusan dan ia melibatkan anak-anaknya juga. Dengan semangat kental, ibu tunggal ini bangun untuk mencapai kejayaan.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai penubuhan syarikat produksi terbarunya itu, MK Pak mahu memajukan industri filem tempatan di mana Winner Dynasty Films & Entertainment akan memainkan peranan sebagai jambatan untuk bakat Malaysia menembusi pasaran China dan antarabangsa.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Kamil Othman, Pengerusi Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, wakil dari Persatuan Seniman Malaysia dan ramai lagi wakil perbadanan filem.

Selain "Dimensi Cinta", MK Pak akan turut menerbitkan tiga buah filem yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Tiga filem tersebut berjudul "Duality", "The Dead Zone" dan "Over My Dead Body" yang mana ia akan diarahkan oleh pengarah-pengarah berbeza.

Penulis: Ashraf Nasser