Buletin
"Dukun" cipta rekod baru, kutip RM6.2 juta lepas 4 hari tayangan!


Tarikh disiarkan: 10 April 2018


Salah satu babak dalam filem "Dukun".

10 Apr– Walaupun filem "Dukun" sudah terperap lebih sedekad, namun ia masih lagi berjaya mencetuskan fenomena apabila filem arahan Dain Said itu berjaya mendapat kutipan lebih RM6.2 juta hanya selepas empat hari tayangannya.

"Ini adalah kali pertama filem terbitan kami berjaya meraih kutipan mencapai RM6.2 juta dalam tempoh empat hari.

"Kami sememangnya mengharapkan filem ini diterima oleh penonton di luar sana. Namun, kami tidak menjangkakan sambutan luar biasa seperti ini," ujar Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar yang dipetik dari Gempak.

Pada masa sama, Najwa turut mengucapkan terima kasih kepada barisan penerbit dan pengarah kerana menghasilkan sebuah karya yang hebat, termasuklah barisan pelakon yang memberikan lakonan mantap.

Filem yang merupakan filem pertama terbitan Astro Shaw dan pertama arahan Dain Said ini turut mencipta rekod tersendiri apabila menjadi filem tempatan pertama yang ditayangkan sebanyak 34 kali sehari.

"Dukun" membariskan pelakon terkenal seperti Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Namron, Bront Palarae, Elyana, Sofi Jikan dan Hasnul Rahmat.

Ia berkisarkan tentang seorang lelaki bernama Karim, iaitu seorang peguam nekad untuk mencari anaknya yang hilang. Masalah Karim menjadi semakin sukar apabila dia membuat perjanjian dengan Diana Dahlan, seorang OKT (Orang Kena Tuduh) yang berjanji untuk membantu pencariannya. Tanpa diduga, Karim membongkar kisah yang lebih gelap menyebabkan dia kehilangan segala-galanya.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Dukun (Melayu) (5 April 2018)