Buletin
"Dukun" ke Festival Filem Asian New York!


Tarikh disiarkan: 11 Julai 2018


Salah satu babak dalam "Dukun" memperlihatkan watak Diana melakukan ritual ilmu hitam.

11 Jul – Selepas mencetuskan fenomena apabila ditayangkan di pawagam tempatan sebelum ini, filem "Dukun" terus mencipta kejayaan apabila disahkan bakal ditayangkan di Amerika Syarikat bersempena Festival Filem Asian New York 2018 (NYAFF) kali ke-17.

Festival anjuran Subway Cinema dan Film Society of Lincoln Center itu yang sudah bermula sejak 29 Jun lalu akan berlangsung sehingga 15 Julai ini.

Ia dianjurkan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada filem-filem Asia untuk diiktiraf dan ditayangkan di New York.

Selain ditayangkan, filem arahan Dain Said ini akan turut bersaing dalam kategori Audience Awards, di mana pemilihan dibuat berdasarkan undian pengkarya filem dan penonton filem tempatan, di mana pemenang akan diumumkan pada hari terakhir festival itu.


Filem terbitan Astro Shaw itu dijadualkan akan ditayangkan pada 13 Julai (Jumaat) di SVA Theatre.

Ini bukanlah kali pertama "Dukun" ditayangkan di luar negara kerana sebelum ini filem itu telah ditayang dan bertanding di banyak festival antarabangsa.

Filem ini yang akhirnya ditayangkan di pawagam pada April lalu selepas lebih sedekad diharamkan dari ditayangkan di Malaysia, nyata tidak mengecewakan apabila berjaya mengutip lebih RM11 juta.

Ia dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air seperti Datin Umie Aida, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae dan ramai lagi.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Dukun (Melayu) (5 April 2018)